HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2008

Berikan peluang PAS memerintah, untuk buktikan ‘Negara Kebajikan’ - Presiden PAS.
Ditulis oleh SM Noor.



Kuala Nerus – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang membuat tawaran kepada seluruh rakyat supaya memberikan peluang kepada PAS untuk memerintah bagi membuktikan PAS berupaya melaksanakan program ‘Negara Kebajikan’. Presiden PAS menyatakan demikian didalam kuliah tafsir mingguannya di Masjid Taqwa, Batu Enam, disini hari ini. Kuliah beliau berkisar tentang penghijrahan RasuluLlah SAW yang telah membawanya penubuhan negara Islam Madinah, dimana program-program negara berkebajikan telah dilaksanakan.

‘Negara berkebajikan’ Madinatul-Munawwarah telah menjadikan zakat sebagai sumber(resources) bagi menjana ekonomi umat. Dimana prinsip ‘mengambil bahagian daripada orang-orang kaya, dan diberikan kepada orang-orang yang berhajat’ telah berjaya menyelesaikan masalah ekonomi dan pembangunan negara.

Dato’ Seri Tuan Guru telah menerangkan dengan panjang lebar tentang pembahagian zakat kepada lapan asnaf utama, dan membidas pihak UMNO/BN negeri Terengganu yang menjadikan isu ‘anak exco mendapat zakat’, sebagai golongan yang jahil dan tidak memahami ilmu ugama.

”Zakat dibenarkan didalam Islam untuk diberikan kepada orang-orang yang sedang sedang menuntut ilmu, terutamanya ilmu-ilmu ugama, dengan tidak mengambil kira samada mereka anak exco atau anak menteri, kaya atau miskin” jelas Dato’ Seri.

Mengambil contoh masakini, Dato’ Seri berkata,”sekiranya syarikat Petronas yang keuntungannya berbilion ringgit, mengeluarkan zakat, maka dengan zakat itu, kerajaan boleh memberikan pendidikan secara percuma dan perkhidmatan secara percuma kepada rakyat”.

Sehubungan dengan itu, Petronas telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 70.2 bilion pada tahun 2006. Tawaran ‘Negara Berkebajikan’ yang ditawarkan oleh PAS boleh dilaksanakan sekiranya Petronas mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% yang berjumlah RM 1.75 bilion, satu jumlah yang mampu menampung kos bagi pendidikan dan kesihatan percuma untuk rakyat Malaysia.

PAS telah menawarkan didalam manifestonya, mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Kebajikan, untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 yang akan datang. Konsep Negara Kebajikan telah lama dilaksanakan di negara-negara maju seperti di Jepun dan United Kingdom. Antara perlaksanaan ‘Negara Kebajikan’ bagi Jepun adalah memberi subsidi 99% terhadap pengeluaran padi dinegara tersebut.

Tawaran PAS untuk Pilihanraya Umum akan datang telah menjadi satu kegerunan kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Perlaksanaan program-program ‘Negara Kebajikan’ telah pun dilaksanakan di Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 1990.

Tiada ulasan: