HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

Mara tarik balik pinjaman pelajar giat politik.



KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) Khamis mengeluarkan amaran akan menarik balik pinjaman para pelajar tajaannya yang didapati menyertai parti politik.

Ketua Pengarah Mara Datuk Nam Marthinin berkata agensi itu akan bertindak tegas ke atas pelajar yang ingkar.

"Mana-mana pelajar tajaan Mara akan ditarik balik pinjaman mereka sekiranya dikesan terlibat dalam parti politik," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua pelajar institusi pengajian tinggi memang dilarang mencampuri urusan politik dan perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian untuk menjadi seorang graduan yang berjaya.

Nam yang ditemui selepas Majlis Anugerah Kualiti Mara 2007, berkata setakat ini seorang pelajar tajaan Mara yang menuntut di Ireland telah ditarik balik pinjamannya kerana terlibat dalam politik pada tahun 2003.

Ketua Pengarah Mara itu diminta mengulas mengenai penubuhan sebuah pergerakan politik yang dikenali sebagai Parti Mahasiswa Negara (PNM), yang menurut presiden pro-tem Azlan Zainal di Putrajaya 18 Jan lepas, berhasrat menarik keanggotaan dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi walaupun menyedari ia melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. BERNAMA

Tiada ulasan: