HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2008

Program Jejak Fakir berjaya kesan kemiskinan tegar di kawasan PM.
Mohd Sabri Said.


KEPALA BATAS (Hrkh) - Program Jejak Fakir anjuran PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan) Kepala Batas semlam berjaya menyaksikan kemiskinan tegar masih ketara di parlimen yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional (BN) khusunya Parlimen Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selama ini, BN sengaja melindungi isu berkenaan dengan memaparkan cerita kemiskinan di negeri yang dimenangi pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya mereka boleh jatuh papa kedana ekoran pembangkang tidak boleh memberi kemodenan atau tidak bijak mengurus ekonomi.

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Zulkiply Ishak berkata, rupa-rupanya di kawasan yang dikuasai Umno terutamanya di parlimen Perdana Menteri sendiri tahap kemiskinan masih tinggi.

Tidak sangka sambungnya, ada lagi golongan miskin hanya merasai tempias pembangunan sahaja walhal sekumpulan kroni yang rapat dengan tokoh nombor satu negara itu ketawa besar di samping menikmati habuan yang diterokai.

"BN dan Umno harus menilai pemerintahan mereka kerana terlalu banyak masyarakat miskin hidup dalam kesukaran berlainan dengan slogan yang dipaparkan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua KeAdiLan Bahagian Kepala Batas, Zaini Awang dalam kenyataanya menegaskan, sungguh malu bila mengetahui isu kemiskinan masih ketara di Pulau Pinang iaitu sebuah negeri yang kaya dengan percaturan politik Umno.

Masih ada lagi, rakyat yang tidak dapat bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ), Orang Kurang Upaya (OKU) diabaikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlepas pandang dan tiada bekalan air yang sempurna sedangkan negara sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan.

"Sedih sungguh melihat realiti rakyat sekarang ini terpaksa menanggung bebanan yang kerajaan lakukan. Inilah waktu yang paling sesuai untuk rakyat buat penilaian tukar pemerintahan yang menindas," katanya.

Program Jejak Fakir itu sekali gus membantu keluarga Yaacob Mat Isa yang menjagai kakaknya yang cacat penglihatan dan pekak, Jamilah @ Sharifah Mat Isa dari Kampung Permatang Tiga Ringgit.

Kehidupan mereka sekeluarga tempang kerana tiada sebarang bantuan dihulurkan, lebih menghairankan kakaknya adalah OKU yang diperakui kerana mempunyai kad berdaftar nombor LD024159.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tinggal selang dua buah rumah dari rumah usang mereka sekeluarga tidak prihatin terhadap nasib mereka yang daif.

Satu lagi keluarga yang sempat Jejak Fakir meninjau ialah Puan Che Tom Hashim seorang penyokong setia Umno sejak dulu.

Kini beliau mula sedar dengan kenaikan harga barang dan kesukaran mendapatkan rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) mendorong jiwanya untuk tidak memberi undi pada BN lagi.

Penghidupan tanpa air bersih dan menumpang tanah rezab Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dari 1991 sehingga kini banyak mengajarnya erti kebenaran.

"Orang yang kita undi kaya raya, kita yang bekerja penat memenangkan mereka tetap hidup dalam kepayahan sampai hari ini," jelasnya dengan nada sayu mengenangkan suaminya terpaksa memanjat kelapa untuk menyara hidup mereka yang tinggal berdekatan tali air Bumbung Lima, Kepala Batas.

Turut menziarahi keluarga miskin di Kepala Batas ialah YDP Kepala Batas, Ustaz Ghazali Wahid, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kepala Batas, Nasir Abu Bakar, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kepala Batas, Suzriman Mohamad, Ketua KeAdiLan Bahagian Tasek Gelugor, Mohamad Hashim, Ketua Wanita KeAdiLan Tasek Gelugor, Puan Rosiah Arshad dan jawatankuasa peringkat bahagian dan kawasan masing-masing.

Tiada ulasan: