170,000 tidak boleh mengundi di Pahang.
KUANTAN 28 Jan. - Kira-kira 170,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pemilih di Pahang mungkin tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi sekiranya pilihan raya umum ke-12 diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Ismail Mohd. Yusof berkata, walaupun pendaftaran sebagai pemilih dibuka sepanjang tahun, mereka yang baru membuat permohonan perlu mendapat pengesahan daripada SPR Pusat terlebih dahulu.
"Proses melakukan pengesahan oleh ibu pejabat itu akan mengambil masa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri Pahang di sini hari ini.
Menurutnya, bilangan pemilih termasuk pemilih pos yang layak mengundi dan telah disahkan di negeri Pahang sehingga 19 Disember tahun lalu ialah 601,340 orang.
"Daripada jumlah tersebut 586,205 orang adalah pemilih biasa dan 15,135 lagi pemilih pos," katanya.
Ditanya persiapan SPR menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa, beliau memberitahu, seramai 8,641 petugas SPR di negeri ini telah bersedia untuk menghadapinya.
Jumlah tersebut, katanya, melibatkan 14 pegawai pengurus, 66 penolong pegawai pengurus, 74 pembantu pilihan raya, 84 pemantau kempen pilihan raya, 1,190 ketua tempat mengundi, 4,775 kerani mengira undi, 692 kerani menyemak daftar pemilih, 258 kerani menyemak komputer, 934 petunjuk arah pusat mengundi manakala selebihnya iaitu 554 orang pembantu kepada pegawai pengurus.
"Kita kini mengadakan taklimat terakhir tentang persiapan pilihan raya. Setakat ini semua berjalan lancar," ujarnya sambil menambah pusat penamaan calon telah dikenal pasti.
Ismail berkata, sebanyak 2,380 peti undi akan ditempatkan di 502 pusat mengundi melibatkan 1,190 saluran pengundian di seluruh negeri Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan