Khir Toyo nafi laporan laman web, tolak Ezam jadi calon Umno.
SHAH ALAM: UMNO Selangor tidak memerlukan khidmat mana-mana bekas pemimpin parti pembangkang termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor untuk bertanding sebagai calon atas tiket UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana UMNO sendiri mempunyai cukup calon serta pemimpin berwibawa yang mampu memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada Ezam untuk menyertai UMNO.
“Setakat ini, dia (Ezam) belum lagi memohon untuk menyertai UMNO.
“Lagi pun kita sudah cukup pemimpin-pemimpin yang berwibawa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas sebuah laman web yang melaporkan bahawa Ezam yang kini menjadi Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) telah ditawarkan oleh UMNO Selangor sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
Ezam keluar daripada PKR pada April tahun lalu selepas kecewa dengan corak kepimpinan parti itu yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu berkepentingan peribadi sehingga menyebabkannya lemah.
Terdahulu, Mohamad Khir merasmikan program Perkampungan Hadhari Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Program selama dua hari itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama stesen televisyen swasta, TV9 dan Institut Perkembangan Minda (Inmind).
Menurut Mohamad Khir, penganjuran program tersebut bertepatan dengan masanya memandangkan pilihan raya umum ke-12 bakal diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, parti-parti pembangkang akan menjadikan Islam Hadhari sebagai ‘modal’ untuk berkempen dan mempengaruhi orang ramai dengan menyatakan konsep tersebut sebagai sebuah agama atau mazhab baru.
Beliau memberitahu, melalui program sedemikian, orang ramai dapat mengetahui dengan jelas konsep Islam Hadhari yang selama ini tidak begitu difahami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan