HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

Pegawai JPN Sabah dicekup BPR kerana makan suap.



KOTA KINABALU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan empat orang termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan pengeluaran MyKad.

Pengarah BPR Sabah Latifah Md Yatim berkata pegawai JPN itu, seorang lelaki berumur 43 tahun yang berasal dari Sabah, ditahan di pejabatnya petang semalam kerana dipercayai cuba mendapatkan RM3,000 sebagai ganjaran untuk urusan pengeluaran MyKad.

"Walaupun dia bukan seorang pegawai kanan, namun dia mempunyai kuasa yang besar dalam urusan pengeluaran kad pengenalan," katanya pada satu sidang akhbar di sini Rabu.

Tiga yang lain ditahan semalam ialah dua orang awam lelaki masing-masing berumur 50 tahun dan 49 tahun dan seorang wanita juga orang awam berumur 56 tahun dan warganegara Malaysia yang dipercayai menjadi ejen kepada pegawai berkenaan.

Latifah berkata BPR merampas 21 keping MyKad, berpuluh-puluh keping borang permohonan kad pengenalan daripada Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan kad pengenalan lama daripada pegawai berkenaan.

"Daripada dokumen dan kad pengenalan tersebut, setelah kita periksa, terdapat perkara-perkara yang meragukan," katanya.

Latifah berkata ada antara penama dalam MyKad yang dirampas itu telah membuat laporan polis kononnya mereka kehilangan kad pengenalan meskipun kad pengenalan yang mereka laporkan hilang itu bukan milik mereka.

"Hasil maklumat orang awam, kita menjalankan siasatan bermula tahun lalu. Modus operandi mereka ialah biasanya mereka gunakan KPT yang palsu. Jadi apabila pegawai berkenaan mendapati KPT berkenaan palsu, pegawai berkenaan menggunakan ruang tersebut untuk meminta wang suapan.

"Kadang-kadang pegawai juga sengaja melambatlambatkan proses pengeluaran kad pengenalan dan dalam tempoh berkenaan mereka minta wang (suapan)," katanya.

Latifah menasihatkan orang ramai terutama penduduk Sabah supaya menghubungi BPR jika permohonan kad pengenalan mereka masih diragui.

"Kita tidak boleh kompromi dengan isu kad pengenalan ini kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara kita apa lagi jika kad pengenalan berkenaan diberikan kepada yang tidak berhak," katanya.

Latifah berkata siasatan awal mendapati bahawa ada antara borang permohonan MyKad yang dirampas itu diterima daripada warga asing yang tinggal di luar Sabah termasuk warga Indonesia, Filipina, Pakistan dan India dan dipercayai setiap permohonan dikenakan bayaran sehingga RM18,000.

Katanya pegawai berkenaan ditahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala tiga orang awam itu ditahan di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kesemua mereka jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga lima kali nilai suapan atau hukuman penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Tiada ulasan: