HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2008

Kod rahsia jual pil khayal.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin.



KUALA LUMPUR: Gentar tindak-tanduknya dihidu pihak berkuasa, seorang doktor yang juga pemilik sebuah klinik swasta di Jinjang di sini, memperkenalkan kod sulit ‘biru’ dan ‘air’ kepada penagih dadah yang datang untuk membeli pil khayal di kliniknya.

Kaedah itu diperkenalkannya sebagai kata laluan rahsia kepada penagih dadah dan ‘orang tengah’ yang datang ke kliniknya untuk membeli pil khayal jenis Subuxone, Dormicum dan Methadone.

Penagih yang datang untuk membeli pil hanya perlu menyebut ‘biru’ yang merujuk kepada pil Subuxone dan Dormicum , manakala ‘air untuk mendapatkan Methadone.

Jika penagih yang datang tidak menyebut kata laluan rahsia itu, permintaan mereka untuk membeli pil itu tidak akan dilayan.

Kod sulit itu dikesan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan melalui risikan terhadap klinik berkenaan.

Pemilik klinik itu juga dikesan menggunakan taktik mengedarkan pil psikotropik pada waktu awal pagi.

Wartawan Harian Metro yang turut mengikuti operasi mendapati klinik berkenaan mula dikerumuni penagih dadah seawal jam 8 pagi.

Sejurus doktor lelaki berusia 40-an terbabit muncul dan membuka pintu kliniknya sekitar jam 8.15 pagi, kumpulan penagih dan ‘orang tengah’ terbabit dilihat berpusu-pusu ke kaunter untuk membeli pil khayal.

Operasi haram klinik berkenaan yang mula reda sekitar jam 9 pagi bagaimanapun diamati rapi pegawai penguat kuasa farmasi yang melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Selepas pasti dengan bukti penjualan pil khayal di klinik berkenaan, seramai lebih 10 pegawai Farmasi disertai Timbalan Pengarah Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Sahmah Bahri melakukan serbuan tepat pada jam 9.15 pagi.

Serbuan mengejut itu menyebabkan doktor terbabit terpinga-pinga sebelum pegawai penguat kuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap stor, bilik dan kawasan menyimpan ubat di klinik berkenaan.

Jurucakap farmasi berkata, hasil soal siasat terhadap doktor terbabit yang mempunyai kelulusan dari Universiti Elberta, Kanada, dia mengaku menjual pil psikotropik kepada penagih dadah.

“Siasatan mendapati doktor berkenaan turut menyembunyikan pelbagai jenis pil psikotropik lain antaranya Diazepam, Xanax dan Subutex di kliniknya.

“Selain pemeriksaan di klinik, doktor berkenaan turut diminta membuka Proton Waja miliknya untuk diperiksa pegawai penguat kuasa farmasi,” katanya.

Susulan pemeriksaan, pegawai penguat kuasa farmasi mengarahkan supaya doktor berkenaan menunjukkan lokasi kediamannya untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, doktor terbabit cuba berdolak-dalik dan enggan akur dengan arahan itu sambil memberi alasan ingin berbincang dahulu dengan peguamnya.

Namun selepas diberi amaran oleh Ketua Penolong Pengarah Farmasi Kuala Lumpur, Roeslan Ishak, doktor terbabit bersetuju menunjukkan lokasi kediamannya di Batu 3, Jalan Ipoh.

“Pegawai farmasi yang turut dibantu dua anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah milik doktor terbabit sebelum menemui lebih lima kotak besar berisi botol Methadone dan pelbagai pil psikotropik lain.

“Pada masa sama isteri doktor terbabit seorang warga negara Kanada cuba mempertikaikan tindakan pegawai farmasi yang memeriksa rumah mereka. Bagaimanapun ‘gangguan’ itu gagal menghalang tindakan tegas pegawai farmasi merampas semua pil dan cecair psikotropik yang disimpan,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan itu, penguat kuasa farmasi merampas 17 jenis pil dan cecair psikotropik yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000.

Tiada ulasan: