Banjir: Penduduk Desa Rejang saman pihak bertanggungjawab.
Kuala Lumpur: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini, akan melantik peguam dalam tempoh terdekat bagi mengemukakan tuntutan mereka terhadap kerugian dialami dalam dua kejadian banjir kilat, baru-baru ini.
Keputusan itu diambil selepas tiada pihak bertanggungjawab yang tampil membantu dan memberikan pampasan atas kerugian mereka, walaupun kejadian itu bukan berpunca daripada mereka.
Tinjauan di kawasan itu mendapati longkang yang dikatakan tersumbat akibat tertimbus tanah daripada kerja pembinaan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) yang terletak berhampiran flet itu sudah dibersihkan.
Bagaimanapun, masih ramai penduduk belum membaiki kerosakan kenderaan mereka berikutan kos keseluruhannya agak tinggi.
Penduduk, Azril Mohd Nor, 27, berkata dia kecewa kerana tiada pihak bertanggungjawab terhadap kejadian banjir kilat itu yang menyebabkan kompresor penyaman udaranya rosak berikutan terkena air banjir yang deras.
“Dalam banjir pertama, saya tidak dapat menghidupkan kenderaan kerana air sudah merosakkan ‘starter’ kereta saya. Sekarang jadi pula macam ni, mana tahan?
“Tiada seorang pun yang datang untuk berbincang atau bertemu kami kerana masing-masing mahu lepas tangan dan menyalahkan pihak lain,” katanya sebelum pembinaan lebuh raya terbabit kejadian banjir kilat seperti itu tidak pernah berlaku walaupun selepas hujan lebat.
Shahruddin Yusof, 37, turut mengalami kerosakan penyaman udara selain sistem audionya, termasuk set amplifier yang rosak serta minyak enjin bercampur air selut selapas tidak sempat menyelamatkan kenderaan kerana berada di tempat kerja.
Menurutnya, dia bersetuju melantik peguam bersama penduduk flet lain berikutan tidak berpuas hati dengan sikap pihak berkenaan yang tidak mempedulikan masalah mereka hadapi selepas banjir itu.
“Mereka seolah-olah tidak kisah dengan kerugian kami hadapi, padahal ia terang-terang bukan kesilapan kami,” katanya yang belum dapat membaiki semua kerosakan itu.
Tajuddin Ludin, 35, pula berkata mereka terpaksa melantik peguam kerana tidak mampu memperjuangkan nasib penduduk yang menjadi mangsa secara bersendirian.
“Sebab itu, kami mesti bersepakat dengan semua penduduk yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di flet mereka, semalam.
Banjir lumpur pertama kali berlaku pada 17 Januari lalu apabila paip air besar pecah berikutan pembinaan Lebuhraya Duke dan malam kelmarin banjir lumpur melanda lagi.
Dalam kejadian pada malam, tiga hari lalu, banjir lumpur berlaku dipercayai berikutan limpahan air hujan dari longkang yang ditimbus tanah berikutan kerja pembinaan Lebuhraya Duke yang terletak berhampiran flet itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan