HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2008

Menteri manipulasi data inflasi, cuba sembunyi derita rakyat!.
M Khaleel Kas.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang cuba memanipulasikan data inflasi untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya memberikan kebajikan kepada rakyat.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, tindakan Dato' Shafei Afdal yang cuba membandingkan kadar inflasi negara ini kononnya lebih rendah daripada negara lain lain seperti Singapura, Korea Selatan, China, Indonesia, Filipina dan Taiwan dianggap sebagai usaha untuk menyelamatkan karier politik sendiri.

"Inflasi adalah satu konsep tentang kadar kenaikan harga barang setelah membandingkan tahun / bulan semasa dengan tahun / bulan asas. Walau bagaimanapun, data yang ditunjukkan oleh Menteri tersebut hanya untuk tempoh antara November hingga Disember 2007.

"Sedangkan beban sebenar kenaikan harga barang dan kos hidup rakyat telah mendadak pada Januari 2008. Lihat sahaja selepas kenaikkan mendadak 'yuran sekolah percuma' pada awal tahun, diikuti oleh kenaikan harga minyak masak dan tepung gandum. Ini belum dikira kenaikan tambang bas sekolah dan barang makanan lain seperti roti dan makan digoreng ekoran kenaikan harga minyak dan tepung,"jelas Salahuddin dalam satu kenyataan pada Harakahdaily semalam.

Tambahnya, lebih aneh lagi, apabila menteri berkenaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain hanya meningkat 1.1 peratus sahaja, manakala kumpulan pengangkutan hanya 1.2 peratus.

"Kadar inflasi ini hanya untuk bulan Disember. Dan rakyat memang mengetahui tentang utiliti dan bahan api tidak mengalami kenaikan harga. Kenaikan harga sektor perumahan dan hartanah pula tidak memberi kesan yang besar kerana rakyat tidak membelinya setiap hari.

"Tetapi yang dibimbangi oleh rakyat ialah kemungkinan Kerajaan BN menaikkan harga bahan api dalam masa terdekat ini sekali gus memberi kesan kepada kumpulan elektrik, gas, bahan api dan pengangkutan,"katanya lagi.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen, Kubang Krian turut menambah, betapa hakikat sebenar bebanan hidup rakyat dapat dilihat dalam kumpulan makanan yang mengalami kenaikan harga mendadak secara purata sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh sebulan antara November hingga Disember 2007.

"Cuba kita bayangkan peningkatan sebenar kos hidup rakyat apabila harga beras, roti dan bijirin meningkat 5.1 peratus, ikan dan makanan laut (3.1 peratus), susu, keju dan telur (7.7 peratus), makanala sayur-sayuran sebanyak 5.1 peratus. Kadar ini adalah untuk tempoh sebulan sebelum Januari. Selepas kenaikan harga minyak masak dan tepung, roti canai telah mengalami kenaikan harga lebih 25 peratus kepada RM1 sebiji,"tambahnya.

Jelasnya, satu kajian oleh DPP Pusat terhadap barang-barang makanan berasaskan roti atau tepung mengikut jenama pada akhir Disember 2007, berbanding Disember 2006 telah menunjukkan peningkatan harga sehingga 64 peratus.

"Sebagai contoh, sekilogram tepung gandum berjenama Baker C telah mengalami kenaikan harga dari RM1.45 kepada RM1.90 iaitu sebanyak 31.03 peratus, manakala jenama Bunga Cempaka mendadak 64.29 peratus dari RM1.40 (2006) kepada RM2.30 (2007). Jenama Sauh meningkat 56.25 peratus dari RM1.60 (2006) kepada RM2.50 (2007) dan jenama Wau mendadak sebanyak 61.22 peratus dari RM1.47 (2006) kepada RM2.37 (2007).

"Bagi roti pula pula, jenama Samudera Kek Chiffon (300gm) mengalami kenaikan harga dari RM3.08 kepada RM4.00 iaitu sebanyak 29.87 peratus. High Whomeal (400gm) meningkat 26.67 peratus dari RM1.80 (2006) kepada RM2.28 (2007), manakala High5 Hot D meningkat 45.45 peratus kepada RM1.60 pada Disember 2007. Yang paling tinggi meningkat ialah High5 Sure Value dari RM1.50 (2006) kepada RM2.20 (2007) iaitu sebanyak 46.67 peratus.

"Ini adalah data-data bagi jenama roti dan tepung untuk Disember 2007 yang terpilih sahaja. Mungkin jika ditinjau semua jenama roti, ia akan memperlihatkan data yang lebih menakutkan. Dasar Kerajaan BN hanya mengawal harga roti kosong sahaja, roti-roti yang diperkaya (enrich) mempunyai kebebasan menaikkan harga,"ulasnya.

Di samping itu, katanya, "jika isu tepung, roti dan minyak masak ini sahaja diperkatakan pun, ia sudah cukup untuk memperlihatkan penderitaan sebenar rakyat di sebalik kadar inflasi bulanan 2.5 peratus itu.

"Ini belum dikaji keadaan sebenar makanan ruji seperti beras dan bijirin terutama selepas kegagalan KPDNHEP menyekat Bernas daripada menyeludup beras. Jika dilihat pula kepada makanan lain seperti ikan dan makanan laut, sayur, telur, keju dan susu yang meningkat antara 3.1 hingga 7.7 peratus, ia amat membimbangkan.

"DPP Pusat percaya satu kadar yang lebih besar dapat dilihat jika dibanding secara tahunan. Lagipun, kadar 2.5 peratus itu adalah kadar kenaikan dari November ke Disember. Jika kenaikan bulanan berlaku sebanyak 2.5 peratus sebulan, dalam tempoh setahun sehingga November 2008, ia mungkin telah berjumlah 30 peratus setahun,"tegasnya. - mks.

Tiada ulasan: