Halang Anwar jadi saksi, suruhanjaya takut jejaskan individu tertentu?.
Intan Abdullah.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tindakan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat klip video 'Lingam' yang membuat ketetapan untuk tidak memanggil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi adalah tidak relevan.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berkata, ketetapan yang diambil suruhanjaya tersebut adalah tidak adil sedangkan Anwar merupakan individu pertama yang mendedahkan mengenai klip video tersebut.
"Anwar adalah individu pertama yang mendedahkan kepada umum mengenai pita video Lingam ini, tetapi beliau dihalang daripada memberikan kenyataan. Ini nampaknya tidak logik," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Bahkan Tian tidak menafikan terdapat kemungkinan keterangan Anwar boleh mungkin menjejaskan pihak tertentu.
"Saya hairan dengan ketetapan pihak suruhanjaya, melainkan mereka takut dengan bukti-bukti yang dikemukakan oleh Anwar yang boleh menjejaskan individu-individu tertentu," katanya.
Begitupun beliau berpandangan apa yang telah diputuskan suruhanjaya itu akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan ketelusan siasatan suruhanjaya itu.
"Apa yang berlaku ini menunjukkan suruhanjaya tersebut tidak adil, dan ini akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti suruhanjaya," jelasnya.
KeADILan ujarnya, akan menyatakan bantahan kepada umum terhadap apa yang telah berlaku sekali gus cuba untuk memberikan penerangan kepada rakyat mengenai sikap suruhanjaya yang tidak telus.
"Kami semakin kecewa dengan pemimpin dan ahli suruhanjaya ini," tegasnya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat klip video 'Lingam' hari ini menetapkan badan itu tidak akan memanggil dua lagi pemimpin KeADILan itu.
Meskipun Anwar, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Pegawai Khas Anwar, Sim Tze Tzin telah disapina dan antara saksi penting yang mendedahkan klip itu, namun mereka tidak akan dipanggil menjadi saksi.
Selain itu juga dua saksi rahsia yang ditawarkan oleh Anwar, juga tidak akan dipanggil memberi keterangan yang dilanjutkan hingga Rabu ini.
Tan Sri Haidar Mohd Noor yang mempengerusikan suruhanjaya itu yang menyambung persidangannya pagi tadi berkata, keterangan yang hendak diberikan oleh mereka tiada kaitan langsung dengan siasatan yang dijalankan.
Suruhanjaya itu telah mendengar hujah peguam Anwar, M.Puravelan berhubung relevannya saksi-saksi tersebut perlu dipanggil memberi keterangan.
Anwar juga telah mempersoalkan tindakan suruhanjaya tersebut yang melengah-lengahkan untuk memanggilnya sebagai saksi, sedangkan beliau telah disapina untuk memberi keterangan.
Di samping memberi bukti-bukti baru kepada suruhanjaya tersebut, Anwar yang mendedahkan klip video tersebut September lalu, berkata adalah penting untuk beliau memberi keterangan kerana namanya turut disebut dalam video berkenaan.
Peguam Anwar yang berhujah hari ini menyatakan, kehadiran Anwar adalah penting kerana bekas Timbalan Perdana Menteri klip video yang baru yang boleh menguatkan dakwaan mengenai skandal dalam badan kehakiman./wann
Tiada ulasan:
Catat Ulasan