HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

Murid dua sekolah di Marang jadi mangsa keracunan.



MARANG: Seramai 30 murid dari dua buah sekolah rendah di daerah ini hari ini dikejarkan ke Pusat Kesihatan Merchang dan Bukit Payong dekat sini, dipercayai akibat keracunan makanan.

Dalam kejadian pertama di Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, Merchang, seramai 16 murid dikejarkan ke Pusat Kesihatan Merchang setelah mengadu sakit perut, pening dan muntah-muntah selepas menikmati sarapan pagi yang disediakan dalam program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Seorang murid Tahun Lima, Mohd Sazwan Zakaria, 11, ketika ditemui di pusat kesihatan itu, berkata tidak lama selepas menikmati sarapan, beberapa rakannya mengadu sakit perut dan loya sebelum beliau sendiri mengalaminya.

"Selepas menikmati soto di kantin sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi tadi, perut saya terasa sakit, kepala saya pening dan saya kemudian muntah-muntah. Beberapa rakan lain turut mengadu perkara sama selepas menikmati hidangan itu," katanya.

Akibat tidak tahan menanggung kesakitan, beberapa murid memaklumkan kepada guru mengenai perkara itu lalu menghantar mereka ke pusat kesihatan berkenaan.

Tinjauan Bernama di pusat kesihatan itu, kebanyakan murid yang mengalami keracunan makanan sudah dibenarkan pulang dan hanya empat murid iaitu Mohd Sazwan serta dua rakannya Mohd Mujahidin Aziz, 11, Mohd Ikhuwan Nordin, 11, dan murid Tahun Empat, Norol Hani Syahira Mohd Arisham, 10, yang masih menerima rawatan.

Kejadian serupa berlaku di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Bukit Payong apabila seramai 14 murid terpaksa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Bukit Payong setelah mengadu sakit perut selepas menikmati keropok semasa waktu rehat pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Bagaimanapun, semua murid yang mengalami keracunan makanan itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas menerima rawatan.

Sementara itu, pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit enggan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian berkenaan. BERNAMA

Tiada ulasan: