Tajol Rosli hanguskan RM4.5 juta wang rakyat.
Johari Jaafar.
IPOH (Hrkh) - Runtuhnya bangunan Kompleks Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding pada penghujung November tahun lalu bermakna 'hangusnya' wang rakyat sejumlah RM4.5 juta.
Ini kerana Kerajaan Negeri di bawah pentadbitan Dato' Seri Mohd Tajul Rosli Ghazali, tidak membuat penilaian menyeluruh sebelum bangunan tersebut didirikan.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan Perak, Misbahul Munir Masduki, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah semalam.
"Menteri Besar Perak dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar tempatan ada menyebut bahawa pembinaan bangunan tersebut pada peringkat awalnya banyak menghadapi masalah dan beliau sendiri tidak berpuas hati kerana bangunan tersebut yang mempunyai empat belas bilik itu sememangnya tidak ekonomik untuk kemudahan pelancong.
"Tajul Rosli sendiri mengakui pembinaan bangunan tersebut mengalami pelbagai masalah walaupun usaha-usaha dibuat untuk mengurangkan risiko pembinaan bangunan itu, ini bermakna sejak awal lagi bangunan tersebut mempunyai risiko untuk didirikan, tetapi setelah bangunan itu runtuh baru perkara ini diakui oleh Menteri Besar,"jelasnya.
Tambahnya, sepatutnya kajian teliti dan menyeluruh dilakukan untuk pembinaan bangunan di kawasan itu, bukannya setelah runtuh baru menyedari terdapatnya masalah dalam pembinaan bangunan tersebut.
Bangunan tersebut yang hampir siap runtuh dipercayai disebabkan kerosakan pada strukturnya.
Menurut beliau, sekiranya Tajul Rosli benar-benar tidak berpuas hati dengan pembinaan kompleks tersebut dan mengetahui banyak masalahnya pada peringkat awal, beliau perlu mengarahkan projek tersebut dihentikan segera.
Sehubungan itu menurut beliau peletakan jawatan Pengerusi PRNP oleh Tajul Rosli tidak bererti beliau terlepas dari tanggungjawab tersebut .
Beliau menyeru seluruh pengundi di negeri ini memberikan isyarat yang jelas kepada Tajul Rosli selaku Menteri Besar Perak dengan memberikan undi mereka kepada calon-calon Barisan Alternatif. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan