Setelah diberi amanah selama 50 tahun, BN masih gagal memerintah.
Shirzad Lifeboat.
Satu sumber yang rapat dengan Umno memberitahu saya Parlimen dan Dun akan dibubarkan seminggu selepas tarikh perayaan Tahun Baru Cina. Hari pembuangan undi pula akan diadakan dalam tempoh paling minima yang dikehendaki oleh undang-undang selepas hari penamaan calon.
Menurut sumber itu lagi Umno-BN tidak akan bertangguh-tangguh lagi dalam mengadakan PR-12 kerana kemerosotan parti pemerintah kini sudah boleh dibuat dalam kiraan harian.
Katanya PAS dan juga parti pembangkang lain seolah-olah telah memenangi 30 peratus daripada PR-12 tanpa berusaha keras.
Ini menurutnya berbeza dengan senario PR-11 yang diadakan pada 2004 di mana khabar kononnya pilihan raya akan diadakan pada sekian dan sekian tarikh sudahpun dilatarbelakangi dengan kempen yang pesat dari parti-parti pembangkang.
Jika andaian atau maklumat sumber ini boleh diterima, atas sebab seperti yang digambarkan oleh sumber tersebut, atau kerana Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah akhirnya mendapat ilham, atau sekiranya PR-12 diadakan pada bila masa sekalipun sebelum mandat lima tahun (Mac/April 2009) itu mansuh, maka PR-12 ini adalah yang pertama diadakan selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Sebenarnya bagi rakyat Malaysia yang bakal mengundi pada pilihan raya ini kelak, kita berada di tengah-tengah persimpangan. Kita perlu berhenti seketika dan melihat sebelum kita memilih simpang mana yang harus dikita ambil dan meneruskan perjalanan.
Kita tiba di persimpangan ini bukan kerana kita telah setengah abad merdeka, tetapi kerana setelah 50 tahun memberikan amanah kepada Umno-BN masih ada lagi isu-isu nasional yang gagal atau tidak mampu ditangani.
Umno-BN sering mendabik dada kononnya wujud perpaduan nasional yang jitu di kalangan kaum. Perpaduan nasional ini, menurut mereka adalah sosial kontrak yang tercapai pada waktu negara mencapai kemerdekaan (walaupun ia hanya sebenarnya satu persetujuan kerjasama tiga buah parti yang mengasaskan perjuangan atas landasan kaum dan tidak representif terhadap kaum-kaum terbabit secara menyeluruh).
Walaupun kita tidak pernah bercakaran di antara satu sama lain kecuali ketika tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969, tapi masih yang perlu dilakukan. Kita tak boleh berpuashati dengan ungakapan 'perpaduan kaum' apabila di luar ungkapan ini, masih ada lagi rungutan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum terbabit termasuk orang Melayu sendiri. Perpaduan kaum bukanlah satu slogan kosong, kita perlu bertanya apakah kita benar-benar memiliki 'kemamtapan nasional'(national cohesion) antara-kaum.
Bagaimana pula dengan kedudukan Perlembagaan Persekutan? Apakah di tangan Umno-BN selama 50 tahun ini dan melalui 11 pilihan raya umum semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keluhuran undang-undang, keadilan dan hak dan kesaksamaan begitu dirasakan oleh setiap rakyat Malaysia atau cuma dirasakan oleh sebahagian daripada rakyat tetapi tidak dirasai oleh sebahagian yang lain?
Apakah selama 50 tahun ini segala undang-undang yang digubal, di pinda termasuk pindaan yang dibuat terhadap Perlembagaan adalah representif terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhan atau apakah ia dibuat bagi menjaga kepentingan sesuatu kumpulan tertentu.
Bagaimana pula tentang kualiti pendidikan kita dan insan yang lahir dari sistem pendidikan yang kita cipta. Apakah sistem kita terbaik di dunia atau apakah ia antara yang terbaik atau boleh dianggap baik? Atau hanya ahli-ahli politik Umno-BN sahaja yang merasakan ia terbaik?
Kalau benar sistem pendidikan kita baik, mengapakah kualiti graduan kita, terutama dari kalangan anak-anak Melayu masih tidak begitu menarik minat sektor untuk menyerapkan mereka dalam pasaran pekerjaan.
Katanya antara sebab mereka tidak dapat diterima ialah kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Tetapi bukankah sistem pendidikan kita mengkehendaki bahasa itu diajar sejak dari tahun satu persekolahan lagi? Apakah ini kualiti pendidikan yang kita capai setelah 50 tahun berada di bawah pentadbiran Umno-BN?
Bagaimana pula tentang perkhidmatan awam penting yang diswastakan? Bagaimanakah bil elektrik, bil air dan bayaran hospital. Sementara pentadbir Umno-BN boleh cuci tangan dan tak payah pening kepala memikirkan berapa banyakkah peruntukan yang perlu diberikan untuk perkhidmatan-perkhidmatan tersebut, bagaimanakah kesan dasar penswastaan perhidmatan penting ini kepada rakyat keseluruhan terutama dari segi kemampuan dan kos? Apakah pentadbir Umno-BN memikirkan kesan jangka panjangnya terhadap rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan?
Dalam masa 50 tahun pentadbiran Umno-BN, bagaimana pula keberkesanan dan efisiensi institusi-institusi lain kerajaan yang diwujudkan untuk memberikan khidmat kepada rakyat? Apakah Umno-BN sentiasa peka terhadap rungutan rakyat terhadap jabatan-jabatan kerajaan ini.
Bagaimana pula dengan daya pemulihan ekonomi kita dalam pada kita kian terdedah kepada globalisasi? Atau apakah kita dengan sengaja memburukkan lagi keadaan dengan menandatangani atau membuat rundingan FTA yang mana ia tidak akan menghasilkan situasi menang-menang kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya, malah akan hanya mengundang kepada keadaan orang lain menang dan kita tewas?
Pilihan raya umum bukan hanya terbatas kepada isu-isu semasa? Bukan sahaja sama ada orang yang menjawat jawatan Perdana Menteri seorang yang berprestasi tinggi atau tidak, tetapi ia adalah masa kita memikirkan semula apakah parti yang menguasai pentadbiran negara selama ini telah sesungguhnya melakukan yang terbaik untuk kita semua?
Kita kini telah sekali lagi tiba di persimpangan ini? Kali ini ia bukan lagi seperti pilihan raya yang telah lalu kerana kita telah berusia separuh abad? Sudah tiba masanya kita jujur pada diri sendiri, apakah Umno-BN telah melakukan yang terbaik untuk kita semua rakyat Malaysia? Apakah Umno-BN maksum seperti yang didakwa mereka?
Apakah ini bentuk pentadbiran yang kita mahukan untuk 50 tahun lagi?
Itu belum lagi kita bertanya tentang soal rasuah, soal intergriti, ketelusan dan akauntabiliti. Kita boleh bertanya macam-macam lagi, tetapi pada perkiraan terakhir, apakah jawapan yang kita perolehi? - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan