Tolak calon-calon "batang pisang"
Roslan SMS
Pengarang Kumpulan NST Syed Nadzri dalam ruangannya di akhbar tersebut hari ini menulis di bawah tajuk:
Of banana trunks, songkok and the polls
Ternyata kehangatan bahang pilihan raya terus mendapat tempat dan ruang dalam media arus perdana. Tulisan Syed Nadzri yang terbit hari ini tidak terkecuali. Beliau mengulas satu kenyataan yang lazim didengar di desa dan kampung apabila sahaja memperkatakan darihal calon Umno dalam pilihan raya. Ianya dipopularkan di negeri "benteng" Umno iaitu Johor oleh bekas MB nya Allahyarham Tan Sri Othman Saat. Yang dimaksudkan adalah ungkapan:
Umno kalau letak calon batang pisang pun boleh menang.
Sebelum ini bekas PM Tun Dr Mahathir pun pernah mengulas bahawa persepsi dikalangan orang-orang Melayu memanglah begitu, bahawa letak tunggul kayu pun ia boleh menang asalkan ia calon Umno!
Tanggapan ini menjadi popular barangkali sejak 1959 (pilihan raya umum pertama selepas Merdeka) oleh kerana realitinya ketika itu (kecuali di Kelantan dan Terengganu) Umno ini memang gagah dan sinonim kepada orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu hanya mengenal Umno, menentang Umno seakan satu tindakan durhaka kepada bangsa, agama dan negara. Parti yang lain walau dipimpin oleh "tok wali" mana sekalipun, namun jika namanya bukan Umno maka ia akan ditolak orang Melayu, kecil atau besar, tua atau muda, kaya atau miskin.
Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini fahaman ini semakin longgar dan luntur sehingga tulis Syed Nadzri ,mendorong Presiden Umno Dollah Badawi sendiri untuk berkata:
Zaman letak songkok pasti menang dalam pilihan raya kerana bertanding atas tiket BN sudah berlalu.
Khabarnya menurut satu kajian yang dibuat oleh parti berkenaan, 60 peratus responden berpandangan bahawa mereka akan mengundi berdasarkan kewibawaan atau kredibiliti sesorang calon dan tidak lagi buta-buta kerana partinya. Jika benar demikian maka Umno perlu bangkit dari zon keselesaannya dan terpaksa melakukan "overhaul" dan perubahan besar, sesuatu yang pasti sukar dalam parti yang telah berdarah-daging dengan kepercayaan tahyul bahawa orang Melayu tidak sekali-kali akan membelakangkang mereka walau dalam apa keadaan sekalipun, bagaikan kata-kata Laksamana Hang Tuah:
Takkan Umno hilang di dunia!
Saya berbangga jika benar demikianlah pendirian orang Melayu hari ini. Bermakna mulai pilihan raya akan datang orang-orang Melayu tidak lagi taksub pada satu-satu simbol atau parti. Orang Melayu kini sudah bersedia untuk mengundi berdasarkan kewarasan pemikiran mereka dan tidak lagi pada hawa nafsu dan sentimen melulu. Orang Melayu kini akan menyaring,mengkaji dan menapis calon-calon yang bertanding. Pilihan mereka hanyalah pada calon yang bersih, berakhlak mulia dan bermoral tinggi.
Dalam ertikata lain orang-orang Melayu akan memberikan kepercayaan kepada calon-calon (tidak kira parti) yang bertaqwa, iaitu takut kepada Allah dan tidak kepada manusia, harta benda atau pangkat dan kedudukkan. Calon-calon pilihan adalah mereka yang mampu berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara secara tulus dan ikhlas dan tidak rasuah serta menyalahgunakan kuasa, apalagi hidup berfoya-foya, maksiat dan seumpamanya. Benarkah demikian?
Tidak salah untuk kita berharap demikian (disamping berdoa), jika berlaku insyallah tertebuslah maruah bangsa dan agama yang selama ini tercalar angkara pemimpin bongkak yang terus-menerus bertanggapan seperti di atas.
Ayuh kita tpastikan ditolak kali ini calon-calon batang pisang, tunggul kayu dan bersongkok (semata-mata) tak kira dari mana!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan