HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

Kerajaan lancar perang maklumat melalui "Sahih".



KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan menubuhkan Pusat Rujukan Maklumat Sahih (Sahih) yang akan beroperasi 1 Feb ini bagi menangani penyebaran maklumat palsu, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata penubuhan Sahih dapat memastikan hanya maklumat tepat dan benar disampaikan kepada rakyat dengan menggunakan kemudahan teknologi sedia ada.

"Kepantasan dan kemudahan teknologi juga telah mendemokrasikan maklumat hinggakan masyarakat ataupun mana-mana pihak juga boleh menjadi punca maklumat dan menyebarkannya dengan pantas menerusi internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.

"Ini termasuklah maklumat-maklumat palsu yang sengaja dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab atas kepentingan tertentu," katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini Khamis.

Menurutnya pusat Sahih akan menggunakan empat mekanisme iaitu hotline, e-mel serta SMS DAPAT, menghantar secara `broadcast', menghantar secara `cell broadcast' dan langganan maklumat sahih.

Menerusi mekanisme hotline, e-mel dan SMS DAPAT, orang ramai boleh menghubungi Pusat Sahih melalui nombor telefon 03-22843114 (beroperasi waktu pejabat dan 24 jam apabila Parlimen bubar), faksimili 03-22822979, e-mel di alamat sahih@kempen.gov.my dan SMS di alamat SAHIH_mesej (dan hantar ke) DAPAT (32728).

Zainuddin berkata panggilan telefon dan e-mel akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik Kementerian Penerangan yang telah dilatih.
Katanya semua SMS itu akan terus disalurkan oleh DAPAT ke Pusat Sahih untuk tujuan pengesahan.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menggunakan pusat itu bagi mendapat pengesahan terhadap sebarang maklumat atau SMS meragukan selain bagi membolehkan kementeriannya mengambil tindakan sewajarnya.

Orang ramai juga boleh melaporkan sumber-sumber penyebaran maklumat palsu untuk perhatian kerajaan menggunakan SMS yang disediakan secara percuma ini, katanya.

Beliau berkata menerusi mekanisme penghantaran secara `broadcast', Pusat Sahih akan menghantar maklumat secara pakej kepada semua pengguna telefon manakala SMS berdasarkan kriteria tertentu contohnya berdasarkan kawasan seperti Petaling Jaya pula akan dihantar melalui mekanisme menghantar secara `cell broadcast'.

Zainuddin berkata orang ramai juga boleh melanggan kesemua maklumat yang dikeluarkan menerusi Pusat Sahih dari semasa ke semasa.

Beliau berkata penyebaran maklumat yang tidak diketahui kesahihannya adakalanya tidak akan memberi impak yang serius, tetapi ada juga yang mampu menimbulkan masalah dan kekecohan di kalangan masyarakat.

"Antara beberapa maklumat (palsu) yang berlaku tidak lama dahulu termasuklah penyebaran khabar angin mengenai pergaduhan kaum yang dikatakan melibatkan kematian di Johor Baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata sesetengah penerima akan membuang SMS atau maklumat seperti ini tetapi ada juga yang akan menyebarkannya kepada rakan lain sehingga mampu menimbulkan suasana panik dan kurang senang di kalangan masyarakat.

"Justeru, kerajaan berpendapat jika trend yang amat membimbangkan ini tidak ditangani secara berkesan, ia akan merosakkan jaringan masyarakat hingga boleh menjejaskan kesejahteraan orang ramai, mencetuskan prasangka kaum dan memporak-perandakan negara," katanya

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan cuba menggunakan pusat itu untuk menyebarkan maklumat palsu.

"Kita mempunyai mekanisme untuk mengesan perbuatan sebegini kerana setiap panggilan atau maklumat akan dinilai dan jika didapati menjejaskan keyakinan rakyat, perkara itu akan dijelaskan segera bergantung kepada tempoh yang diperlukan bagi mengesahkannya," katanya.

Beliau juga menafikan pusat itu ditubuhkan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Penerangan untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat berkualiti," katanya.

Zainuddin berkata penyebaran maklumat palsu dijangka meningkat menjelang pilihan raya umum kali ini. BERNAMA

Tiada ulasan: