Anwar ada klip video terbaru kaitkan Lingam, Tengku Adnan dan Mahathir.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan mendedahkan satu lagi klip video dakwaan kaitan antara peguam, VK Lingam; Menteri Pelancongan, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa orang bekas hakim serta tauke judi.
"Sekembali saya dari Hong Kong petang Jumaat, saya memperolehi klip video terbaru mengaitkan lagi pelakon utama Lingam, para hakim pilihan, tauke judi Vincent Tan, sekutunya Tengku Adnan serta bekas PM," katanya dalam blognya semalam.
"Tunggu dan saksikan adegan menarik Isnin nanti insya-Allah.Apa pula kata ahli Suruhanjaya? Tidak relevan, lupa, atau bukan bidang kuasa kami?" soalnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang menyiasat klip video Lingam menolak permohonan Peguam Anwar, S.Puravelan yang mahukan Anwar memberi keterangan di hadapan anggota suruhanjaya itu minggu lalu.
Anwar dalam satu kenyataannya minggu lalu komited untuk memberikan bukti-bukti baru berhubung kontroversi klip video Lingam sekiranya beliau dibenarkan memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang ditugaskan menyiasat perkara tersebut.
Beliau membuat 'tawaran' tersebut selepas peguamnya gagal 'memujuk' suruhanjaya itu supaya memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri memberi keterangan 21 Januari lalu.
Sementara itu, Anwar bertanya-tanya mengapa beliau masih belum dipanggilkan untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.
Beliau telah disapina oleh suruhanjaya tersebut dan nombor lima dalam senarai saksi.
"Tetapi sekarang suruhanjaya itu mahukan keterangan bertulis (dari peguam saya) mengapa saya perlu memberi keterangan ini agak ganjil," katanya sambil menambah, ia menimbulkan persoalan berhubung integriti suruhanjaya tersebut.
Di samping memberi bukti baru kepada suruhanjaya tersebut, Anwar yang mula-mula mendedahkan klip video Lingam September lalu berkata ianya penting beliau memberi keterangan kerana namanya turut disebut dalam video tersebut.
Pada 19 September 2007, Anwar mendedahkan klip video perbualan antara seorang peguam dengan hakim kanan persekutuan yang didakwa merancang kedudukan hakim.
Akibatnya, rakyat mendesak satu suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat kes itu, dan selepas sebuah panel ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan pita itu, kerajaan mengumumkan pula penubuhan Suruhanjaya DiRaja yang memulakan siasatan mereka awal bulan Januari. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan