HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

8 lelaki hadapi tuduhan curi kontena.


BUKIT MERTAJAM — Lapan lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini atas tuduhan mencuri kontena dan menyembunyikan harta curi.

Daripada lapan orang itu, dua menghadapi tuduhan utama mencuri 15 buah kontena, milik Syarikat Serai Makmur Sdn Bhd di depot kontena syarikat itu di Seberang Jaya.

Mohd Zakhari Ahmad, 26, dari Penaga dan Mohamad Shukur Man, 25, dari Kulim, yang merupakan pekerja syarikat itu, dituduh secara bersama-sama melakukan kesalahan itu antara pukul 11 pagi 7 Jan lalu dan 5.30 petang 20 Jan.

Seorang lagi, Henrry Goh Abas, 28, dari Perai dituduh mencuri sebuah kontena milik syarikat berkenaan di sebuah kawasan lapang berhadapan dengan kilang Fatric Sdn Bhd di Taman Nagasari, Perai pada kira-kira pukul 2 pagi, 21 Jan lalu.

Dia menghadapi tuduhan pilihan pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, menyembunyikan harta curi, iaitu sebuah kontena milik syarikat Serai Makmur.

Lima lagi yang dituduh, Seow Leong Hooi, 55, dari Batu Maung, M.Viswanathan, 40, (Sungai Bakap), Mahadi Iman, 38, (Perai), kedua-duanya pemandu lori, peniaga Ang Theam Hua, 45, (Georgetown), dan pemungut besi buruk Lim Lye Hock, 52, (Jelutong) menghadapi tuduhan secara bersama-sama mencuri dua kontena milik Syarikat Serai Makmur di Blok 211A, Jalan Bukit Minyak, Kawasan Perindusrian Bukit Minyak pada pukul 5.30 petang, 20 Jan lalu.

Mereka menghadapi tuduhan pilihan pada tarikh, masa dan tempat yang sama menyembunyikan harta curi iaitu dua buah kontena milik syarikat yang sama.

Lim juga menghadapi tuduhan menyembunyikan harta curi iaitu 12 kontena, milik Serai Makmur di Central Kargo Sdn Bhd, Jalan Baru, Perai pada kira-kira pukul 11.20 pagi 21 Jan lalu.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.
Majistret Cheang Kian Hong menetapkan 26 Mac ini sebagai tarikh sebutan.

Beliau membenarkan ikat jamin masing-masing RM25,000 untuk Mohd Zakhari dan Mohamad Shukur, Goh (RM20,000), Seow, Viswanathan, Mahadi, Ang dan Lim (masing-masing RM10,000) dan RM20,000 lagi untuk Lim bagi tuduhan menyembunyikan 12 kontena.
— BERNAMA

Tiada ulasan: