Abdullah jaja modal 'expired' di Kelantan
Apa yang terdedah semalam turut mendedah dan mengenalkan kepada umum khususnya rakyat Kelantan siapa dia Abdullah sebenarnya.
Oleh Mohd Sayuti Omar
Kehadiran Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kelantan baru-baru ini berbeza tujuan dengan beberapa kunjungan beliau sebelum ini.
Ia juga amat bertentangan dengan semangatnya ketika beliau hadir pada majlis pelancaran pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada akhir tahun lalu.
Kalau sebelum ini Abdullah tidak membuka naluri politiknya tetapi kali ini berbeza.
Sebelum ini beliau cuba menyembunyikan apa yang terbuku di hatinya dan menjaga utuh prinsip dan kapasitinya selalu Perdana Menteri untuk semua rakyat seperti mana yang sering diucapkan bila berada di Kelantan. Beliau menghindarkan 'berdendam' dengan rakyat Kelantan.
Rakyat Kelantan menghormati kepada sikap dan perwatakan beliau sebelum ini. Para penyokong PAS juga merasa sejuk dan suhu marahnya (sentimen) terhadap beliau juga menurun. Sesetengah ahli PAS merasakan Abdullah mudah untuk diajak berunding berhubung kepentingan dan keperluan mengenai bangsa dan agama.
Tetapi kehadirannya 4 Februari lalu berbeza dan merubah lanskap politiknya di Kelantan secara drastik. Perasaan dan suasana selesa rakyat Kelantan yang sebelum ini terhadapnya bertukar secara tiba-tiba.
Apa yang terdedah semalam turut mendedah dan mengenalkan kepada umum khususnya rakyat Kelantan siapa dia Abdullah sebenarnya. Sikap itu memberi peluang kepada rakyat Kelantan untuk menilai kemudian menghukum Abdullah dengan sewajarnya.
Tegas kehadirannya kali ini lebih atas sifat seorang presiden parti dan bukan seorang Perdana Menteri tetapi tetap menggunakan segala kemudahan Kerajaan.
Dalam tiga kunjungannya ke Kelantan sebelum ini beliau tidak tercelupar bercakap soal hendak rampas Kelantan. Bahkan beliau tidak menyebut langsung soal itu. Acahan dan juga lambungan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan untuk tujuan itu juga tidak dibalas sehinggakan ada kalanya sikap pasif beliau mengenai perkara itu mengecewakan sesetengah pemimpin Umno Kelantan.
Mereka (pemimpin) Umno beranggapan Abdullah lembek dan seolah-olah turut sama bersimpati dengan Kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walaupun ada pemimpin Kelantan yang tidak habis mengecam dan mengkritiknya namun beliau buat endah tidak endah saja.
Sikap itu diterjemahkan betapa beliau tidak berminat mengganggu Kelantan dan masih meneruskan pandangan politik bekas PM sebelum ini; bahawa Kelantan biarlah dimenangi oleh Pas kerana ia boleh menjadi pengimbang politik Melayu.
Ketika memulakan kempen terbuka untuk merampas Kelantan pada kunjungan keempat itu, Abdullah cuba menarik perhatian rakyat Kelantan dengan apa yang berlaku di Terengganu. Beliau menjadikan Terengganu sebagai modal dan contoh kepada rakyat Kelantan. Kononnya disebabkan rakyat Terengganu bijak (menumbangkan Kerajaan PAS) maka negeri itu kini maju dan mendapat nikmat pembangunan, banyak dibawahnya.
Nampaknya beliau sangat berharap tindakan dan perubahan di Terengganu itu akan menular ke Kelantan. Hasrat ini jelas terkandung dalam kata-katanya pada sidang akhbar di hari itu. "Maka saya harap pengundi akan memilih BN untuk memerintah Kelantan, seperti (kita) yang kita lakukan di Terengganu," ujarnya.
Abdullah begitu bangga dengan pencapaian Terengganu dan yakin rakyat Kelantan akan mengikutinya. Mungkin itu harapan dan impian Abdullah. Tapi rakyat Kelantan ada citarasa dan iktiqadnya tersendiri dalam politik. Sesuatu yang dilupai bahawa rakyat Kelantan bukan obses kepada pembangunan yang bertentangan dengan nilai hidup mereka
Sifat qanaah menjadi amalan rakyat Kelantan.
Apabila Perdana Menteri itu menjadikan Terengganu sebagai modal dan mengisahkan mengenai kehebatan Terengganu dari segi pembangunan, mewar-warkan mengenai plan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) seperti sudah tersuluh beliau ingin menjadikan pembangunan sebagai modal dalam pilihan raya akan datang.
Seperkara lagi yang beliau sebut dan menjadi brand dalam pentadbirannya ialah modal insan. Katanya beliau akan menekankan kepada pembangunan modal insan dengan mewujudkan banyak pusat latihan kemahiran di Kelantan .
Apakah modal insan versi Abdullah? Modal insan atau pembangunan insan sudah lama diwujudkan di Kelantan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi. Modal insan itu dimengertikan dengan pembangunan manusia. Institusi pembangunan insan paling ampuh yang ada di Kelantan dan tidak wujud di negeri-negeri Pantai Barat ialah seperti pengajian pondok, kuliah agama di surau, sekolah agama dan sebagainya.
Menerusi projek pembangunan manusia Kerajaan Kelantan ini ia bukan sahaja setakat menjamin manusia berjaya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi.
Pembangunan insan versi dan amalan Kerajaan PAS lebih luas dan universal sifatnya.
Sekiranya Abdullah membuat sedikit 'pengkajian' dengan membelek kitab Al Ghazali, As-Shafei dan sebagainya berhubung terjemahan mereka mengenai pembangunan manusia, rasanya beliau tidak tergamak menjaja dua modal itu untuk menarik minat rakyat Kelantan untuk menolak Kerajaan yang ada hari ini. Lagi pun kedua modal itu khasnya pembangunan sudah basi di Kelantan.
Modal pembangunan telah lama digunakan untuk tujuan menarik sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. Sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman membawa ke zaman Tun Razak hingga ke zaman Dr Mahathir Mohamad isu pembangunan tidak pernah dilupakan.
Setiap kali pilihan raya manifesto BN menjanjikan ratusan billion projek pembanguan untuk rakyat. Tetapi semuanya ditolak oleh rakyat. Pembangunan material yang kering tanpa diisi dengan roh pembangunan ukharawi sebenarnya tidak mudah diterima oleh rakyat Kelantan.
Jadi kedua isu atau modal yang ditaburkan oleh Abdullah dalam usaha untuk menarik perhatian rakyat agar menolak PAS tidak ubah seperti umpan yang telah basi yang tidak akan dipatuhi dan loya untuk ditelan. Kesimpulannya Abdullah telah melancarkan kempen menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan dengan menjaja modal 'expired' di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan