Khairy dalang disebalik usaha sekat Mukhriz di Langkawi?
Oleh Webmaster
MENANTU Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang didakwa sebilangan anggota Umno mempunyai 'super power' dikhabarkan berusaha menyekat Dato' Mukhriz Mahathir menjadi calon bagi kerusi Parlimen Langkawi.
Semalam Bernama melaporkan Setiausaha Umno Bahagian itu, Mohd Saiful Mustafa mengeluarkan kenyataan menolak Mukhriz yang disifatkan 'calon dari luar'.
Saiful dilaporkan sebagai berkata, Mukhriz, anak bongsu Tun Dr Mahathir Mohamad bukan anak tempatan Langkawi dan tidak menganggotai Jawatankuasa Umno Bahagian itu.
Sebelum ini Mukhriz berkata, jika diberi peluang, beliau sedia bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi dalam pilihan raya umum 8 Mac ini.
Menurut Bernama, Saiful berkata majoriti masyarakat di Langkawi mahukan penyandang Dato' Paduka Abu Bakar Taib sekali lagi dipilih untuk bertanding bagi kerusi itu berdasarkan kepada prestasi perkhidmatan beliau.
Katanya 85 daripada 91 cawangan Umno di Langkawi menyokong supaya Abu Bakar dikekalkan.
Bagaimanapun ada sumber memberitahu, hanya 24 cawangan sahaja yang menandatangani petisyen yang disediakan oleh Saiful untuk menolak Mukhriz daripada mewakili pulau perlancongan terkemuka tersebut.
Seorang bekas Ketua Bahagian Umno di Kuala Lumpur ketika diajukan persoalan ini mengatakan kekesalannya, kerana orang-orang Umno di Langkawi tidak pernah mengenang budi Mahathir.
"Kalau tak kerana Mahathir siapa yang kenal Langkawi? Depa pun tak boleh cari makan," katanya melepaskan geram.
Isu calon luar bukannya perkara yang pelik dalam Umno. Calon yang hendak dipilih tidak semestinya dari Bahagian yang sama. Ramai pemimpin Umno seperti Aziz Shamsuddin, Sharizat Jalil, Astaman Aziz termasuk wakil Dewan Undangan Negeri datang dari luar kawasan.
Ianya 'no big deal' dalam Umno. Isu calon luar di Langkawi hanya suatu alasan yang dicipta untuk 'menghapuskan' legasi Mahathir dalam Umno.
Hakikatnya, memang isu 'cari makan' amat penting dalam Umno. Jika sewaktu Dr Mahathir berkuasa, memang orang-orang Umno terpaksa tunduk dan menghormatinya kerana hendak cari makan.
Sekarang ini Mahathir sudah tidak lagi berkuasa dan sudah tentu tidak boleh 'beri makan' kepada juak-juak dalam Umno.
"Oleh kerana itu sekarang ini, mereka (orang Umno) terpaksa cari makan dengan orang yang berkuasa dalam parti dan kerajaan, jadi yang berkuasa sekarang Khairy," kata seorang AJK Bahagian.
Mengapa nama Khairy yang disebut? Apakah Khairy ada campurtangan dalam urusan pemilihan calon-calon dari Umno?
Ada pihak yang beranggapan, pada waktu ini, tidak mustahil Khairy 'amat mengambil berat' tentang senarai calon-calon Umno mewakili BN yang dikatakan masih belum dilihat oleh bapa mertuanya.
Tambahan pula yang membabitkan Dr Mahathir dan anak-anak atau penyokong bekas PM itu, semuanya mesti menjalani tapisan Khairy terlebih dahulu.
Mahathir kini dilabel sebagai 'musuh utama Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno. Anaknya, Mukhriz pernah ditewaskan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu dan dihalang untuk mendapat pencalonan yang mencukupi sebagai calon Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno menentang Khairy.
Sumber mengatan memang ada usaha pihak tertentu untuk menyekat kemaraan Mukhriz kerana dengan memberikan anak Mahathir ruang menjadi Ahli Parlimen, ianya merupakan satu tiket yang besar untuk perebutan jawatan dalam Umno tahun ini.
Khabarnya Mukhriz akan dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno jika Hishammuddin Hussein terpaksa memberi jalan kepada Khairy.
"Kebimbangan inilah yang menghantui Khairy, oleh sebab itu tidak mustahil dia berusaha menyekat Mukhriz," kata seorang pensyarah politik di sebuah IPT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan