HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Februari 2008

"Dah tak bersua, nak bersalam macam mana?"
Mat Zain Mat Isa


Ada benarnya kata orang bahawa seseorang yang telah berbohong akan sanggup berbohong sepuluh kali lagi bagi menutup pembohongan awalnya itu. Ada orang kata pepatah ini milik Adolf Hitler, diktator Jerman yang digeruni musuh itu. Ada juga yang mendakwa ia pepatah Cina dan ada yang kata ia kata-kata hikmah ahli failasuf Barat.

Tak kisahlah siapapun yang empunya pepatah itu. Apa yang nyata ia amat bertepatan dengan gelagat para pemimpin politik negara ini. Keghairahan para pemimpin Barisan Nasional memutarbelit fakta isu salam di Terengganu boleh dijadikan contoh.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-12, Ahad (24 Februari) lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikatakan enggan bersalam dengan lawannya dari BN bagi kerusi Parlimen Marang, Dato' Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir.

Anehnya, perkara itu hanya diperbesarkan keesokan harinya. Orang yang membuka cerita itu pula tidak lain daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh.

Mengapa cerita ini tidak dicetuskan tuan empunya diri (Ramzi) sendiri?
Ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program kempen bersama calon-calon BN di Kampung Rhu Muda, Marang, Isnin lalu, Idris dilaporkan menempelak Abdul Hadi sebagai angkuh.

"Saya diberitahu mengenai insiden itu semalam. Inilah sikap sebenar pemimpin PAS. Saya tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi," katanya.

Panjang lagi leterannya, termasuk mengaitkan pula dengan ajaran Islam yang menyuruh kita menghormati orang lain dan menyambut salam. Seolah-olah Abdul Hadi selaku seorang ulama dan tok guru tidak tahu hukum dan adab itu.

Siapa tidak kenal Idris? Seorang pemimpin yang entah berapa kali telah berbohong terang-terangan kepada seluruh rakyat Terengganu. Mahu disenaraikan siri pembohongan beliau?

Di minggu pertama jadi MB, dia kata kerajaan BN pimpinannya tidak akan balas dendam. Dalam minggu itu juga ratusan penjawat awam lantikan politik dihentikan khidmat mereka. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut menjadi mangsa. Belasan imam dan bilal kemudiannya turut dipecat.

Tanah dianugerah kerajaan PAS dirampas semula. Penerima bantuan kebajikan yang disenaraikan kerajaan PAS dikeluarkan semula dari senarai. Apakah itu tidak balas dendam namanya?

Idris sering sebut sejak BN memerintah Terengganu rakyatnya semakin ceria. Barangkali dia mahu mengiyakan slogan yang diciptanya sendiri, ‘BN Menang Rakyat Senang’.

Siapa sebenarnya rakyat yang senang itu? Siapa lagi kalau bukan kroni dan para penyokongnya. Ada pun rakyat terbanyak masih hidup merempat. Golongan miskin dan termiskin malah makin bertambah.

Kalau nak dikatakan dakwaan ini direka-reka pembangkang, bagaimana dengan pendedahan mengenainya oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Dalam satu laporan dikeluarkan EPU pada Oktober 2006, disebutkan kadar kemiskinan rakyat Terengganu meningkat kepada 15.4 peratus. Jumlah isi rumah miskin tegar pula seramai 8,300 dan kedua tertinggi dalam negara.

Sedangkan (menurut kenyataan Adun PAS-Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut) sewaktu diambil alih BN daripada PAS, kadar itu hanyalah 10.4 peratus. Terengganu di bawah PAS berada di kedudukan keempat dalam jumlah miskin tegar tertinggi.

Maka apabila Idris berkata di bawah BN, rakyat semakin senang, tidakkah itu satu pembohongan? Tak bohong macam mana kalau sampai rakyat terpaksa pergi merempat di tangga tokong Cina, meminta sedekah dari orang bukan Islam?

Ada lagi. Idris menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Di awal pemerintahannya dia sebut nak sediakan 25,000 peluang kerja. Sekarang, selepas empat tahun, mana peluang kerja tu?

Ya, memang ada dua gedung perniagaan besar. Tapi ia dipenuhi para pekerja asing, termasuk dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal. Di tapak-tapak pembinaan beberapa projek besar seperti Pulau Wan Man, Pulau Duyong, stadium dan lebuh raya pun begitu juga.

Ada lagi peluang kerja, iaitu di tapak pelupusan sampah. Rakyat berkhemah di situ bagi mengumpul bahan buangan. Barangkali itu pun peluang pekerjaan yang dijanjikan Idris juga?

Idris berbohong kononnya di bawah BN anak-anak makin pintar. Maka bagi menutup pembohongannya yang menyalahi fakta sebenar, Idris berbohong lagi kononnya Terengganu sentiasa menjuarai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sewaktu mengulas keputusan UPSR 2007, Idris turut menyebut bahawa Terengganu telah mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik UPSR selama tujuh tahun berturut-turut. Ini memang jelas bohong.

Seluruh negara tahu, selama lima tahun berturut-turut Terengganu jadi negeri terbaik dalam UPSR. Kita juga tahu Terengganu gagal mempertahankan rekod cemerlang itu 2006 lalu. Terengganu jatuh ke tangga ketiga, katanya selepas Pulau Pinang dan Selangor.

Kalau sudah jatuh ke tangga ketiga, walaupun sekali, berturut-turut ‘kepala *%£$+’ apa macam tu?

Idris berbohong lagi. Dia bohong pasal ribuan kanak-kanak khatam al-Quran. Walhal budak-budak tu hanya hafal beberap surah Muqaddam.

Dia bohong kononnya selama empat tahun memerintah, PAS tak bina walau sebuah pun masjid. Dia bohong mengatakan berlaku pembalakan haram dan penyelewengan hasil hutan di zaman PAS. Tetapi apabila kerajaan BN sendiri tubuh suruhanjaya khas siasat hal itu, sah lah tiada penyelewengan berlaku.

Idris sudah diketahui memang kuat berbohong. Barangkali di atas faktor itulah Idris merasakan lebih baik beliau sendiri yang membuka cerita fitnah mengenai salam ini. Sebabnya, beliau memang pakar dalam bab mencipta fitnah.

Barangkali juga Ahmad Ramzi selaku pendatang baru dalam konfrontasi politik Terengganu belum terbiasa dengan cara gaya fitnah dan berbohong ini. Lalu Idris mereka-reka cerita kononnya Presiden PAS enggan bersalam dengan calon BN.

Tetapi Ramzi sendiri pun nampaknya cepat belajar daripada bosnya. Akhbar semalam (Rabu) memetik katanya yang mengiyakan fitnah dilemparkan bosnya kepada Abdul Hadi itu.

"Memang masa itu saya cuba bersalam dengan beliau (Abdul Hadi), macam mana pula beliau kata tidak berkesempatan bertemu saya. Itu hanya alasan supaya tidak terus dilabel sebagai seorang pemimpin yang angkuh," katanya sebagaimana dipetik akhbar.

Sekalung tahniah buat Ramzi yang telah berjaya menganggotai kelab 'Berehi Nawok' (akronim baru untuk BN). 'Berehi Nawok' adalah kalimah Terengganu bermaksud suka berbohong.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut, penulis menghubungi beberapa rakan di Marang. Mana tahu kalau-kalau mereka ada bersama Presiden PAS ketika itu.

Berdasarkan keterangan (secara berasingan) tiga daripada mereka, penulis berani menyimpulkan bahawa keadaan yang dikatakan 'bertemu' itu sebenarnya tidak berlaku.

'Dah memang kedua-dua (Abdul Hadi dan Ramzi) tak bertemu dekat, nak bersalam macamana?’, soal Haji Wahab Othman yang turut berada di dalam rombongan Abdul Hadi pagi itu.

Haji Wahab bukan orang asing bagi penduduk Marang, khususnya di Dun Rhu Rendang yang turut diwakili Abdul Hadi. Wahab telah menjadi wakil calon kepada Presiden PAS itu sejak beberapa penggal lalu.

Beliau juga Setiausaha Dun Rhu Rendang dan Setiausaha Kerja Pejabat Adun Rhu Rendang sejak sekian lama.

Menurut beliau, kedua-dua calon berkenaan memang tidak bersemuka walau pun di dalam dewan tempat penamaan calon. Rombongan Abdul Hadi masuk lewat 20 minit daripada rombongan calon BN itu.

"Ketika kami masuk (untuk menyerahkan borang pencalonan), Ramzi (calon BN) dah masuk ke tempat rehat. Dia dah selesai proses serah borang.

"Kami selesai, kami masuk bilik (rehat) berasingan. Memang tak jumpa (rombongan BN) sepanjang tempoh penamaan calon tu," kata Wahab.

Menurut Setiausaha Khas Presiden PAS, Zaihan Mohd Daud pula sebaik selesai proses penamaan calon, Abdul Hadi mengadakan sidang media, terutama bagi mengulas arahan tidak konsisten Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) mengenai syarat pematian setem pada borang pencalonan.

Abdul Hadi, menurut beliau, tidak hadir ke tempat pengumuman calon sah bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Tahun ni memang pelik daripada sekala (kebiasaan). Selalunya Pegawai Pengurus minta semua calon bersalam, tapi tahun ni tak berlaku benda tu," tambah Wahab lagi.

Menurut maklumat diterima seorang rakan wartawan, isu bersalam ini sebenarnya berpunca daripada dua jurugambar akhbar berhasrat mengambil foto kedua-dua calon untuk Parlimen Marang dalam posisi tersebut.

"Yang bersungguh meminta untuk bersalam katanya jurugambar tu, bukan calon BN pun," ujar rakan tadi.

Menurutnya juga, oleh kerana Abdul Hadi sedang menuju keluar ke arah tempat letak kereta dan berada agak jauh daripada Ramzi, Presiden PAS itu tidak menganggap masih ada perkara penting yang perlu dilayannya.

Fakta kedudukan sebenar antara mereka ini turut dinyatakan Ramzi dalam kenyataannya disiarkan Utusan Malaysia semalam.

"Panggilan kepada Tok Guru (Abdul Hadi) ajak dia bergambar dengan Ramzi tu dari jarak agak jauh. Tok Guru sekadar sebut, ‘tak perlu ambik gambar, dah banyak dah gambar’.

"Tok Guru tak kenal pun yang berdiri bersama jurugambar tu calon BN hak lawan dia, tapi Tok Guru angkat tangan," kata rakan penulis itu.

Itulah keadaan sebenar yang berlaku. Idris dalam kenyataannya kelmarin ada sebut beliau tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi.

Barangkali beliau memang tak tahu. Barangkali juga beliau sudah tahu keadaan sebenar, tetapi masih cuba memfitnah parti lawan.

Barangkali beliau sudah tidak dapat menahan diri daripada bercakap bohong, kerana BN sebenarnya sudah ketandusan isu bagi mengembalikan keyakinan rakyat Terengganu kepadanya. - mns

Tiada ulasan: