HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Februari 2008

Peguam hantar surat peringatan kepada Bernama – Husam
Rizal Tahir


KOTA BHARU (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) sekiranya tidak memperbetul laporan mengenai kenyataannya dua hari lalu.

“Saya melalui syarikat guaman Hisyam Fauzi And Associate akan menghantar surat nasihat kepada Bernama supaya menarik balik dan memperbetulkan semula laporannya sebelum ini.

“Juga kepada mana-mana media yang mengambil sumber berita Bernama supaya memperbetulkan laporan mereka,” katanya di sini, petang semalam.

Dalam laporan yang dibuat Bernama semalam Husam dilaporkan berkata PAS tidak mampu wujudkan negara berkebajikan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto parti itu.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menasihatkan kepada media terbabit supaya bersikap lebih profesional terhadap laporan yang dibuat.

“Saya sudah berulang kali meminta semua media massa memainkan peranan yang lebih profesional,” ujarnya.

Bernama sebuah agensi berita milik kerajaan kini dilihat lebih cenderung memanipulasikan berita mengenai pembangkang. Sedangkan sebelum ini Bernama memastikan laporan berita yang disiarkan lebih objektif.

Difahamkan pada pilihan raya umum ini Bernama diarah membuat laporan yang berat sebelah terhadap pembangkang selepas media lain milik kerajaan iaitu RTM tidak lagi dipercayai orang ramai.

Husam berkata, salinan VCD kenyataan asalnya akan diedarkan ke seluruh negara supaya rakyat tahu mengenai perkara sebenar.

Ditanya mengenai calon Barisan Nasional(BN) Kelantan yang diumumkan semalam beliau berkata, tiada tarikan ke atas calon BN khususnya yang diuar-uarkan sebagai calon Menteri Besar, Dato’ Dr Awang Adek Husin.

“Tiada tarikan kepada Dr Awang Adek kerana banyak janji yang dia buat tidak ditepati. Malah pretasinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan juga tidak banyak membantu rakyat di negeri ini.

Beliau juga memberitahu ada calon-calon BN disenaraikan tanpa pengetahuan mereka.
Antaranya difahamkan calon BN yang disenarai bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Abdullah Sudin dan Datuk Dr Che Musa Che Omar. Mereka dikatakan akan menarik diri. - mj

Tiada ulasan: