Bantahan pembelian calon oleh BN
Kuala Lumpur - KeADILan membantah sekeras-kerasnya usaha sesetengah pemimpin dan calon dari BN yang hendak membeli calon-calon KeADILan serta parti-parti pembangkang yang lain, supaya mereka menarik diri dari bertanding, tegas Timbalan Presidennya Dr Syed Husin Ali.
Ini berikutan disebabkan kemenangan tanpa bertanding calon-calon BN yang diakibatkan oleh ketidakhadiran calon-calon KeADILan secara mengejut pada hari penamaan calon semalam.
“Kami mempunyai bukti jelas bahawa seorang calon negeri di Selangor telah diberi bayaran tinggi supaya tidak hadir masa pencalonan semalam. Kami juga menganggap bahawa permainan kotor berlaku di Johor sehingga seorang menteri menang tanpa bertanding,” jelas Syed Husin.
Tambah Syed Husin lagi, sekarang ini yakni selepas calon-calon diumumkan, beberapa orang calon KeADILan di peringkat Parlimen dan negeri telah dihubungi dan ditawarkan sejumlah wang yang banyak supaya mengumumkan penarikan diri dari bertanding.
“Salah seorang daripada mereka ditawarkan RM1 juta di sebuah kawasan Parlimen di mana seorang menteri kanan bertanding,” ujar beliau.
Peraturan baru yang dilaksanakan oleh SPR sebermula Pilihanraya Umum ke-11 tahun 2004, setiap calon diberikan tempoh 3 hari untuk mereka menarik diri.
Peraturan ini dilihat sebagai satu ‘cara tersembunyi’ untuk menghapuskan potensi pembangkang melalui proses ‘pembelian’ calon-calon pembangkang oleh Umno-BN.
KeADILan, tambah Syed Husin mendesak sekuat-kuatnya supaya pihak berkenaan, terutamanya SPR, BPR dan polis memantau dan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya pilihanraya ini tidak dicemari korupsi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan