HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2008

PAS Pulau Pinang letak calon muda lawan Abdullah Badawi
Mohd Sabri


PULAU PINANG (Hrkh) - PAS Pulau Pinang meletakan calon muda yang berkaliber untuk menentang Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen P.41 Kepala Batas.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man dalam sidang media memperkenalkan calon PAS petang semalam berkata, Ustaz Haji Subri Mohd Arshad merupakan calon bersih, muda, kacak serta bebas daripada skandal dan lebih penting baik daripada Abdullah.

Ustaz Subri merupakan tokoh yang boleh membawa perubahan di parlimen itu sekiranya dapat menewaskan Presiden Umno itu.

Bukan itu sahaja malahan beliau dapat menyekat pengaruh Dato' Seri Abdullah di parlimen itu ekoran dikatakan sering dimonopoli oleh kroni tertentu.

"Hari ini selesailah teka-teki untuk mengetahui siapa calon PAS untuk Pulau Pinang," ujarnya.

Selain Ustaz Subri PAS Pulau Pinang buat pertama kalinya mengemukakan calon muslimat bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bayan Lepas iaitu Hajjah Asnah Hashim.

Menurut Ustaz Saleh lagi antara nama calon yang diperkenalkan ialah Dun Penaga ditandingi oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Tapiudin Hamzah, Dun Permatang Berangan, bekas Pegawai Pendaftaran Daerah Kepala Batas, Arshad Salleh, Dun Sungai Dua ditandingi oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man dan Dun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

PAS Pulau Pinang kali ini juga berhajat menjadi pembangkang yang kuat dan besar kemungkinan akan bergabung dengan parti pembangkang lain jika memenangi beberapa Dun untuk membentuk kerajaan campuran, katanya.

"Dari sudut politik kita boleh bergabung dengan mana-mana politik pembangkang untuk membentuk kerajaan campuran. Apa pun kita tengok pada 8 Mac nanti," tegasnya. - mns

Tiada ulasan: