BN Kedah hanguskan RM113 juta wang rakyat
Oleh Zulkifli Yahaya
I. 6 projek terbengkalai yang merugikan
Marina Harbour
B
Marina Harbour, Kuala Kedah Marina Harbour terletak di Kuala Kedah adalah cetusan idea Syed Razak Syed Zain. Kompleks tersebut dicadangkan sebagai tempat persinggahan pelayar seluruh dunia. Walau sudah lama siap ia belum digunakan. “Sebab air pasang surut, kapal layar tidak dapat mendarat waktu air cetek,” jelas Menteri Besar Mahdzir Khalid.
Soalnya, sewaktu projek hendak dibina, kenapa tidak fakir habis-habis. Begitu ramai bijak pandai kerajaan negeri yang dibayar gaji oleh rakyat, takkan tidak mampu menyediakan satu blue print yang jitu sebelum projek dibuat.
Khabarnya Marina Harbour sedang diubahsuai untuk digunakan bagi kemudahan nelayan dengan kos tambahan RM7 juta. Bayangkan kalau RM38 juta diperuntukan untuk kemudahan nelayan dari awal, tentu lebih besar faedahnya.
Chalet Pulau Payar
Kerajaan Kedah belum dapat menjelaskan perihal projek chalet di Pulau Payar, bernilai RM6.8 juta. Ia siap dibina, dirasmikan Sultan Kedah, malangnya tidak dapat digunakan kerana tiada sijil layak menduduki (CF) serta ketiadaan sumber bekalan air. Sudahlah pembinaan mengakibatkan kerosakan ekologi hutan yang teruk, RM6.8 juta hangus.
Kompleks Ikan Bakar, Kuala Kedah
Ia satu lagi projek Gajah Putih. Projek bernilai RM6.8 juta menjadi tempat lepak monyet liar apabila tidak dapat digunakan kerana tiada jalam masuk yang sempurna serta tempatnya yang amat tidak strategik untuk menjadi tempat menjamu selera. Sudah dua tahun disiapkan dan kini dipenuhi semak samun.
Projek ikan bakar tidak menjadi tapi yang jelas duit rakyat yang terbakar.
Chalet Muzium Padi
Dibina berhampiran Muzium Padi, di kaki Gunung Keriang. Projek RM23 juta ini dibina pada 1997 selepas mengambil tanah bendang milik orang Melayu dengan harga murah
Lokasinya langsung tidak strategik sebagai tempat penginapan pelancong. Projek ini tidak sepatutnya terbengkalai kerana pembinaannya dibuat oleh Ekran Holding dan kerajaan telah menjelaskan bayaran RM23 juta.
Resort di Tasek Pedu
Resort di Tasek Pedu, semuanya sudah ditutup. Tasik Pedu mendapat suntikan kerajaan RM8.5 juta untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan. Pada 1994, Holiday Inn Pedu Lake Resort beroperasi dan selepas itu dikenali sebagai Pedu Golf and Lake Resort pada 1999. Pada 2001 ditukar kepada Mutiara Pedu Lake Resort. Desa Utara Resort pula beroperasi pada 1995, namun ditutup Januari tahun ini.
Resort yang begitu cantik dan lengkap dengan prasarana kini terbiar macam tongkang pecah. Tiada kawalan keselamatan menyebabkan barang-barang yang tinggal lesap.
Kedua-dua resort rugi RM1 juta setahun akibat kehilangan pelanggan.
Jambatan Pulau Dayang Bunting
Menghubungkan Kuala Sala, Yan ke Pulau Bunting. Sewaktu dibina, ia diumumkan satu lagi destinasi pelancongan. Orang ramai boleh menikmati keindahan pulau dengan memandu kenderaan terus ke sana. Namun apabila projek RM38 juta itu siap, tiada jalan dibuat dari Kuala Sala ke jambatan tersebut.
Semua projek di atas dibuat bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk mengagihkan habuan kepada kroni dan kroni ‘memulangkan’ pula imbuhan kepada penganugerah projek.
II. Amil tanahumiuterap, serah pada pihak lain
BN di bawah kepimpinan Osman Aroff kecoh dengan isu pengambilan tanah rakyat di Tandop, Kerpan dan Yan (projek Jerai International Park).
Hari ini, kisah ambil tanah Melayu untuk projek mega berulang. Satu lagi kawasan tanah Melayu akan berpindah milik kepada pihak lain. Mereka menggunakan anak syarikat kerajaan Negeri iaitu Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED) yang mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat pemaju bukan Bumiputera iaitu DXN Holdings Berhad.
Tanah Rezab Melayu seluas 100 ekar berhampiran Tol Plaza Alor Star Selatan, Tandop diambil YIKED menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang kononnya untuk projek pembangunan bercampur (Warta Kerajaan Jilid 49 No.396 bertarikh 17/8/06).
Hakikat sebenarnya bukanlah usahasama YIKED dan DXN Holdings, tetapi YIKED hanya menjadi lembu tunggangan DXN Holdings untuk tujuan ‘perampasan’ tanah milik Melayu dan tanah tersebut diserahkan kepada DXN Holdings untuk dimajukan. Ceritanya, cerita lama. Kisah Ali Baba. Malang, kerana Alinya ialah Yayasan Islam, menggunakan nama ‘Islam’ untuk menjual hak umat Islam.
Komponen projek antaranya hypermarket, pejabat, hotel, rumah kedai dan perumahan. Apabila siap, seperti biasa hampir semua berpindah milik. Pemilik asal tanah tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan sedikit pampasan lalu membawa diri ke hulu mencari tanah yang lebih murah.
Satu lagi kawasan Tanah Rezab Melayu seluas 1000 ekar di belakang kilang tayar (Sime Tyres), Mergong juga menerima nasib sama. Projek Ali Baba mega ini dibangunkan PKNK dengan Teguh Harian.
Syarikat bukan Bumiputera itu memperalatkan PKNK untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk projek pembangunan industri kecil dan sederhana. (Warta Kerajaan Jilid 49 No. 545 bertarikh 9/11/06). Dari pelan tataletak projek yang dipamerkan kelihatan lebih banyak lot perumahan daripada tapak kilang IKS.
Itu kisah projek mega. Bagi projek biasa, proses pengusiran orang Melayu juga berlaku. Kompleks Perniagaan Utama di Taman Pandan, Kompleks Perniagaan Mergong Jaya, Kawasan Industri Kristal, deretan rumah kedai di Peremba, Alor Mengkudu, Jalan Gangsa, Gunong Sali, Kuala Kedah; semua asalnya tanah bendang milik Melayu, tapi kini berpindah milik. Itu baru segelintir di kawasan Bandaraya Alor Setar, tidak tersenarai semua. Belum sebut lagi di daerah lain.
Sebenarnya itulah yang dimahukan Umno. Melalui kemasukan bukan Melayu ke kawasan tradisional Melayu, mereka akan mendapat keuntungan jangka pendek iaitu undi dalam pilihan raya nanti.
Di Kedah, undi bukan Melayu menjadi faktor penentu kemenangan Umno-BN kerana hakikatnya majoriti Melayu di negeri ini tidak memihak BN. Umno tidak menggunakan kuasa untuk menjana ekonomi Melayu tetapi untuk mengkayakan diri dan kroni.
Hak Melayu makin terhakis dan akhirnya Melayu akan merempat macam rakyat Palestin.
III. Teruknya, isu sampah pun tak boleh selesai
Sudah lebih setahun isu sampah di Bandaraya Alor Setar belum dapat diselesaikan. Sampah tidak berkutip, kekurangan tong sampah dan tong sampah lama yang rosak tidak berganti.
Punca wabak sampah ini ialah kerana MBAS, yang bernaung di bawah sebuah kerajaan negeri yang akan maju pada tahun 2010, hakikatnya tidak berduit untuk menguruskannya.
Kedudukan kewangan MBAS berada di tahap kritikal, menghampiri bankrap. Tiada apa yang pelik kerana ‘bapa’ MBAS - kerajaan BN Kedah - punyai hutang tertunggak RM2 bilion.
Jentera penerangan Umno Kedah terpaksa mencari daleh. Penjelasannya, ramai penghuni Bandaraya Alor Star tidak menjelaskan cukai pintu.
Teruk benar kerajaan BN Kedah yang mengharapkan cukai pintu untuk menguruskan pentadbiran dan pengurusan sebuah majlis bandaraya. Siapa boleh percaya kalau tiang-tiang lampu TNB yang semuanya ditukar dengan tiang berukir Sukma XI awal tahun ini adalah dari duit cukai pintu?
Jika kerajaan BN ada bajet untuk tujuan bermegah-megah, mengapa tidak tahu mencari bajet untuk kebajikan rakyat. Berapalah sangat harga 10 buah lori sampah berbanding RM113.1 juta yang dibazirkan dalam projek Chalet Pulau Payar, Chalet Muzium Padi, Marina Harbour, Kompleks Ikan Bakar, Pedu Resort dan Jambatan Pulau Bunting.
Malah mereka cekap pula mencari duit beratus ribu ringgit untuk pesta bunga api dan persembahana artis setiap kali menjelang tahun baru dan ulangtahun kemerdekaan.
Cukai pintu tidak wajar dijadikan alasan untuk mendera rakyat. Betul, tidak semua penghuni bandaraya bayar cukai pintu, seperti mana tidak semua rakyat Kedah undi BN dalam pilihan raya.
Tapi adilkah hanya kerana tidak semua bayar cukai pintu maka semua mesti terima hukuman, termasuk yang membayar cukai pintu.
Kegagalan mengutip cukai pintu sebenarnya berpunca dari kelemahan kerajaan juga. Mereka sentiasa mencanang kononnya kerajaan BN kaya raya, ekonomi gagah.
Rakyat terfikir, buat apa nak bayar cukai pada kerajaan yang sudah kaya raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan