HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

Bank Rakyat beri dividen 20 peratus
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Kadar dividen tunai Bank Rakyat bagi tahun 2007 adalah sebanyak 20% dan ini melibatkan pembayaran sebanyak RM397.5 juta berbanding hanya pada 15% bagi tahun sebelumnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika mengumumkan hal itu berkata, pembayaran dividen yang dibayar secara tunai kepada anggota adalah berdasarkan kepada keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM828.8 juta yang dicapai dalam tempoh tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007, iaitu yang tertinggi pernah dicatat Bank Rakyat.

“Keuntungan itu adalah peningkatan sebanyak RM202.2 juta iaitu 32.3% berbanding tahun lalu dan ini adalah hasil daripada peningkatan pendapatan untung bersih dan pendapatan berasaskan fi.

“Jumlah pendapatan kasar Bank Rakyat meningkat sebanyak RM520.1 juta iaitu 25.4% kepada RM2,567.8 juta berbanding tahun lalu.

“Ini menjadikan pendapatan bersih meningkat sebanyak RM346.1 juta iaitu 25.6% kepada RM 1,695.7 juta,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Bank Rakyat di sebuah hotel terkemuka di sini, Rabu.

Majlis turut dihadiri pengarah urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan pengerusi eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad.

Khaled berkata, pembayaran dividen kepada anggota yang layak akan dibuat secara berperingkat mulai 20 Februari dan anggota boleh menyemak akaun mereka mulai Sabtu ini.

Katanya lagi, prestasi Bank Rakyai ini adalah hasil daripada pertumbuhan yang kukuh dari segi pembiayaan dan deposit serta penambahbaikan yang berterusan ke atas kualiti aset.

“Selain itu, pendapatan pembiayaan meningkat sebanyak 24.6% kepada RM2,237.4 juta berbanding tahun 2006 dan ini adalah hasil daripada pertumbuhan dalam pembiayaan serta pengurusan aset dan liabiliti bank yang berkesan.

“Jumlah aset juga meningkat sebanyak RM7,408.3 juta atau 27% kepada RM34,900.2 juta berbanding RM27,491.9 juta pada tahun sebelumnya.

“Purata pulangan atas aset adalah pada kadar 2.7% dan nisbah mudah tunai bank pula berada pada tahap 33.5%,” katanya.

Pada majlis yang sama, Khaled menyampaikan cek sumbangan bernilai RM24.865 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi dan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

Selain itu, beliau turut menyampaikan pembayaran dividen kepada tiga anggota koperasi yang menerima dividen tertinggi iaitu Koperasi Permodalan Felda Berhad, Koperasi Polis Diraja Berhad dan Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia Berhad.

Tiada ulasan: