HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2008

SPR tidak tarik balik arahan setem duti seperti didakwa PAS


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menarik balik peraturan menghendaki calon mengemukakan Akuan Berkanun yang disertai setem hasil RM10 yang perlu dimatikan.

Setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata arahan yang dikeluarkan oleh SRP pada Khamis lalu itu tidak pernah ditarik balik dan tiada juga arahan memansuhkannya.

Semua calon yang bertanding dikehendaki mengemukakan Borang 5 bagi kerusi Parlimen dan 5A bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama setem berkenaan yang telah dimatikan, katanya.

"Keputusan muktamad itu dibuat oleh panel yang terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli SPR," katanya mengulas dakwaan PAS bahawa peraturan itu ditarik balik pada saat-saat akhir Ahad bagi memastikan beberapa calon Barisan Nasional yang tidak mematuhi arahan itu tidak hilang kelayakan.

PAS juga mendakwa pencalonan calon BN di Marang yang mengemukakan borang Akuan Berkanun tanpa duti setem yang dimatikan diterima.

Khamis lalu, SPR membatalkan pengecualian setem duti RM10 untuk borang Akuan Berkanun (Borang 5A untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Borang 5 untuk kerusi Parlimen) seperti yang dipraktikkan dalam pilihan raya sebelum ini.

Kamaruzaman berkata jika PAS tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh mencabarnya di mahkamah mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya adakah calon yang mengemukakan Akuan Berkanun tanpa duti setem yang dimatikan boleh hilang kelayakannya, beliau berkata: "Jika SPR setuju maka ia dibenarkan, ia merupakan keputusan SPR."

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bertanding, tetapi dari segi alasannya, perlu dirujuk kepada SPR.

Bagaimanapun, katanya tiada laporan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya berhubung perkara itu pada hari penamaan calon.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata tiada calon yang ditolak pencalonan mereka selepas SPR melaksanakan buat pertama kalinya surat Akuan Berkanun yang tidak dikecualikan setem duti.

Tiada ulasan: