MCA pecat dua ahli bertanding calon bebas di Pahang
KUALA LUMPUR: MCA akan memecat dua anggotanya kerana bertanding sebagai calon bebas dengan menentang calon Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, kata timbalan presidennya Datuk Seri Chan Kong Choy.
Beliau, yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, berkata dua anggota tersebut ialah Ho Yip Kap yang bertanding sebagai calon bebas di Tanah Rata dan Koh Boon Heng bagi kerusi DUN Damak.
Kedua-dua mereka menentang calon BN dari MCA pada pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.
"Sama ada bertanding sebagai calon bebas atau bertindak sebagai pencadang atau penyokong kepada calon pembangkang, kami sudah tentu akan memecat mereka," katanya di pejabatnya di Wisma MCA di sini, Rabu.
Chan berkata parti itu juga menerima laporan mengenai dua anggotanya dari Kedah yang sama ada menjadi pencadang atau penyokong kepada seorang calon pembangkang dan seorang calon bebas semasa hari penamaan calon Ahad lepas.
Katanya sebaik sahaja parti itu menentukan calon pada pilihan raya umum 8 Mac ini, semua anggota parti perlu memberi sokongan padu kepada calon-calon pilihan parti.
"Saya telah memberi amaran keras kepada mana-mana anggota parti yang bertindak menyokong calon pembangkang dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.
Beliau, yang merupakan Menteri Pengangkutan, berkata beliau mempunyai masa untuk memantau aktiviti-aktiviti anggota parti itu semasa tempoh berkempen selepas beliau tidak bertanding kali ini atas alasan kesihatan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan