HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2008

Sindrom kurang daya tahan landa pengajar universiti
Saidah Hairan


KUALA LUMPUR (Hrkh) - PAS kesal dengan kewujudan kumpulan pemantau pilihan raya di kalangan pihak universiti yang ditugaskan melaporkan kakitangan dan pelajar yang menyertai kumpulan penyokong BN dan pembangkang termasuk pada hari penamaan calon lalu.

Sumber memaklumkan kepada Harakahdaily kumpulan pemantau tersebut dibekalkan dengan kamera supaya menghantar laporan dan gambar kepada pihak pentadbiran jika didapati kakitangan dan pelajar universiti terlibat dalam sebarang kegiatan berkaitan pilihan raya.

Walaupun mereka diarahkan memantau jentera dan pergerakan BN dan parti lawan, apa yang sering berlaku tindakan hanya diambil terhadap pelajar dan kakitangan universiti yang menyertai pembangkang.

Mengulas perkara tersebut, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan itu merupakan fenomena lama yang berulang setiap kali pilihan raya.

Beliau berkata apa yang berlaku pemantau tersebut akan membuat laporan terhadap pelajar dan kakitangan universiti yang berkempen untuk pembangkang.

"Dengan wujudnya pasukan pemantau ini, ia membuktikan sikap dan pemikiran sesetengah pelajar dan kakitangan universiti seperti 'orang utan'," katanya.

Pada pilihan raya 8 Mac ini Idris akan mencabar calon Umno-BN, Dato' Mukhriz Mahathir di Parlimen Jerlun.

Menurut beliau, walaupun sesetengah tenaga pengajar universiti mempunyai ijazah tinggi, mereka diserang sindrom kurang daya tahan sehingga tidak mampu membina jati diri dalam profesion mereka.

Sebab itu katanya, tidak hairan hari ini sukar menemui tokoh-tokoh akademik yang menjadi penganalisis dan pengkritik hebat seperti Profesor Dr Jomo K Wamesundram, Prof Dr Syed Husin Ali dan Dr Sanusi Othman.

Katanya, walaupun pihak kerajaan tidak menerima pakai pandangan mereka, pihak luar termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kepakaran mereka.

Menurut beliau, sindrom kurang daya tahan di kalangan cendekiawan ini amat bahaya kerana boleh menyebabkan manusia hilang maruah dan harga diri.

Tiada ulasan: