UiTM medan Umno-BN peralatkan mahasiswa untuk raih undi
Intan Abdullah
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Umno-BN meneruskan strategi bagi mendekati pengundi muda yang merupakan golongan baru pertama kali menjadi pemilih menjelang pilihan raya umum ke-12 ini.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah turun ke Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sebagai strategi awal kempen BN untuk meminta para mahasiswa Kelantan mengundi BN bagi mengalahkan PAS yang telah bertakhta di negeri itu selama 18 tahun pada pilihan raya nanti.
Program dengan kerjasama Gerakan Pemuda Umno Kelantan itu diadakan pada 18 Februari lalu di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam, mensasarkan anak-anak Kelantan di Lembah Klang dengan mengumpulkan mahasiswa Kelantan daripada lima buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan, Universiti Pendidikan sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia dan UiTM sendiri.
Kira-kira 1,000 mahasiswa hadir dalam majlis itu. Namun, apa yang dikesali, pemuda-pemuda BN tersebut tanpa segan silu mengenakan baju-T BN sebagai kempen awal kepada pengundi-pengundi muda itu.
Bahkan, Naib Canselor UiTM, Prof Dato' Seri Dr Ibrahim Abu Shah juga terlibat berkempen secara langsung bagi memastikan sokongan mahasiswa terhadap BN.
Kalau sebelum ini, Harakahdaily pernah mendedahkan kegiatan Umno-BN mendekati pengundi di Kelantan dengan menggunakan tenaga mahasiswa, ini bukan kali pertama mereka turun dalam siri jelajah ke IPT bagi merayu undi mahasiswa.
Program turun ke kampus ini telah bermula sejak bulan puasa tahun lalu, sehingga kepada penganjuran majlis ramah mesra Aidilfitri bersama pemimpin Umno-BN Kelantan di beberapa lokasi tertentu di Lembah klang dengan bantuan Kementerian Pengajian Tinggi.
Aktiviti yang dijalankan mereka itu, memperlihatkan situasi Umno-BN yang kini berada dalam keadaan terdesak, takut dan cemas untuk berhadapan dengan situasi sebenar sokongan pengundi PAS yang tegar dan setia sejak parti untuk berjaya menerajui negeri itu sejak 18 tahun lalu.
Dalam pada itu, Ibrahim Abu Shah bersedia dalam satu kenyataannya kepada media semalam menyatakan persediaan untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor UiTM jika disenaraikan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini.
Namun, beliau menjelaskan setakat ini tidak menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai penyenaraian namanya sebagai calon BN, walaupun khabar angin mengenainya heboh diperkatakan ketika ini.
“Saya tahu mengenai khabar angin mengatakan saya tersenarai sebagai calon BN, tetapi tidak terkejut mendengarnya kerana seperti sudah menjadi lumrah setiap kali pilihan raya, nama saya pasti dikaitkan sebagai calon, namun akhirnya ia kekal sekadar khabar angin, gempak saja sebenarnya.
“Bagaimanapun, andainya benar-benar tercalon, saya akan akur demi perjuangan bangsa dan negara. Mana-mana saja jika kerajaan perlukan, saya akan ikut.
“Jika benar-benar tenaga saya diperlukan di arena politik saya akan melepaskan jawatan akademik ketika ini dan menyertai dunia politik, jika tidak, saya akan kekal sebagai Naib Canselor,” katanya ketika ditemui di UiTM, semalam.
Ibrahim mengulas laporan Berita Harian kelmarin yang menyenaraikan beliau sebagai antara nama yang disebut bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri Melaka menggantikan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang dikatakan akan berpindah ke Parlimen.
Sementara itu, menurut sumber Pengarah Kampus UiTM Dungun akan menjadi calon BN Dun Sura, di Dungun Terengganu.
Sebelum ini, seorang kakitangan Bahagian Hal Ehwal Agama UiTM telah bertanding atas tiket BN dan menang di Dun Jengka.
Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada sesetengah pihak menganggap UiTM sebagai pusat untuk mengkaderkan calon-calon Umno-BN. Menurut sumber juga, Umno-BN biasa menggunakan fasiliti kampus tersebut di beberapa cawangan seperti yang berlaku di UiTM Jengka yang digunakan sebagai tempat program Umno-BN baru-baru ini.
Lalu, tidak hairanlah jika ada yang menyebut bahawa UiTM seolah-olah telah menjadi hak milik Umno-BN. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan