HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

Ahli Umno minta Ibrahim Ali dimenangkan
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Seorang blogger ahli Umno, Amin Yatim, menyeru ahli-ahli dan penyokong Umno supaya "memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Ibrahim Ali jika kita benar-benar ikhlas mahu menyelamatkan UMNO dari menjadi parti satu keluarga sahaja".

Dalam posting terbarunya yang bertajuk "Sokong Ibrahim Ali, Selamatkan Umno" (cuitsikit.blogspot.com), beliau berkata tindakan itu mesti dilakukan untuk memberi isyarat jelas kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar jangan lagi mengulangi tindakan mengenepikan pemimpin yang dipilih oleh ahli-ahli Umno.

"Bukan. Bukan Ibrahim Ali yang mampu menyelamatkan Umno. Ibrahim Ali bukan pemimpin ulung mahu pun mempunyai pengaruh besar dalam Umno. Ibrahim Ali tidak boleh menyelamatkan Umno seperti mana tidak mungkin (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), (Tan Sri) Muhyiddin Yasin, (Datuk Seri Mohd) Ali Rustam, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), (Datuk Seri Dr Mohamad) Khir Toyo dan (Datuk Seri Dr) Rais Yatim.

"Cuma jika kita semua memenangkan Ibrahim Ali di Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya kali ini, ia akan memberi isyarat jelas kepada Pak Lah agar jangan lagi mengulangi (tindakan) mengenepikan pemimpin pilihan ahli Umno," katanya.

Menurut Amin, Ibrahim tidak melakukan kesalahan kepada Umno mahu pun Perdana Menteri.

"Beliau menang secara "jantan" dalam pemilihan Umno Bahagian Pasir Mas. Mengapa Pak Lah mengenepikan beliau dari jawatan Ketua UMNO Bahagian? Dalam persempadanan semua kawasan pilihan raya lalu, diikuti oleh persempadanan semula bahagian-bahagian UMNO, bahagian Pasir Mas tidak terbabit," katanya.

Malangnya, kata ahli Umno itu, Ibrahim dilucutkan jawatan secara terhina tanpa sebarang perbincangan dan perundingan.

"Jika tidak memilih beliau menjadi calon wakil rakyat, memang Pak Lah berhak," katanya.

Namun, katanya lagi, melucutkan beliau dari jawatan Ketua Umno Bahagian tanpa sebab adalah satu tindakan paling tidak demokratik dan menghina keputusan ahli-ahli Umno akar umbi, khasnya bahagian Pasir Mas.

"Apa dosa dan salah Ibrahim Ali kepada Umno? Ibrahim Ali tidak melakukan sebarang bentuk politik wang, tidak terbabit rasuah dalam pemilihan bahagian atau menikam UMNO dari dalam. Sebaliknya beliaulah antara "Pahlawan UMNO" ketika 1998 dan 1999," kata beliau.

Amin mengingatkan, jika hari ini ahli-ahli Umno membenarkan Ibrahim dinyahkan begitu sahaja oleh pucuk pimpinan, maka suatu hari nanti tidak mustahil Ketua Bahagian lain pula menghadapi perkara yang sama.

"Tapi perkara lebih besar dan utama, jika kita terus membenarkan isu ini padam begitu sahaja, suatu hari nanti bukan kita lagi yang memilih Ketua Bahagian. Suatu hari nanti, Ketua Umno Bahagian akan datang dari Pusat Dagangan Dunia Putra, bukan lagi dari ahli," tegas beliau.

Beliau juga mengingatkan, "jika kita tidak korbankan kerusi Pasir Mas ini (memberi kemenangan kepada Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS), nescaya dalam pemilihan Umno akan datang, ramai lagi pemimpin akar umbi akan dicantas oleh pemimpin Umno di atas sana".

Amin menggesa ahli-ahli Umno supaya sama-sama beri isyarat jelas dan serius kepada Abdullah bahawa kuasa sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri bukan hak mutlak menolak keputusan pemilihan Umno bahagian atau pandangan akar umbi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka, rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia.

Beliau juga menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terpedaya dengan janji yang ditabur oleh kerajaan pusat yang berjumlah RM3 billion untuk pembangunan lebuhraya dan empangan di Kelantan. Sebaliknya beliau meminta rakyat Kelantan bertanya, mana duitnya? Tunjukkan dahulu duit tersebut!

Ketika bekas Presiden Umno itu membuat kenyataan tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah berkongsi pentas dengan Dr Mahathir dan duduk sebelah menyebelah.

Bukan itu sahaja, Dr. Mahathir memberi ucapan supaya rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri di atas platform yang dinaungi oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Tiada ulasan: