HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2008

Calon bukan Islam PAS di Johor guna lambang PKR



BATU PAHAT: PAS Johor mengumumkan senarai calonnya untuk bertanding di sembilan kerusi parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ini dengan turut menampilkan seorang calon wanita bukan muslim.

Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata sembilan kerusi parlimen itu adalah Pagoh, Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Tebrau dan Pulai.

Bagi DUN, kerusi itu ialah Buloh Kasap, Pemanis, Tenang, Bukit Serampang, Jorak, Gambir, Serom, Sungai Abong, Maharani, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Seggarang, Rengit, Machap, Mahkota, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tiram, Permas, Pengkalan Rinting, Kempas, Nusa Jaya, Bukit Permai, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS Johor, di sini, Khamis.

Beliau berkata Onn Jaafar pada pilihan raya umum lepas yang menentang Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di parlimen Sembrong beralih ke kerusi parlimen Kota Tinggi manakala Shahar Abdullah bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Mersing dan DUN Tenggaroh.

Mahfodz juga berkata seorang calon wanita berketurunqn India bukan Muslim, Kumutha Raman, 29, akan bertanding di DUN Tiram dengan menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala penyandang kerusi DUN Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

"Tindakan meletakkan calon wanita ini adalah kerana wanita di kalangan Dewan Muslimat PAS belum bersedia untuk bertanding lagi," katanya yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Serampang.

Mahfodz berkata PAS Johor yang membariskan ulamak dan golongan profesional akan memberi fokus pada tujuh kerusi DUN pada pilihan raya kali ini dengan yakin mampu memenangi lima daripada kerusi itu.

Antara kerusi tersebut yang terletak pada kawasan parlimen parlimen ialah Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing. "Pembangkang tidak sekali-kali membenarkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kerusi percuma pada pilihan raya kali ini dengan meletakkan semua calon di kalangan PAS, PKR dan DAP di semua kawasan," katanya.

Sementara itu, Raman yang berkelulusan undang-undang ketika ditemui berkata beliau berasa bangga kerana diberi peluang bertanding dan berpendapat keputusannya itu tidak bercanggah dengan matlamat perjuangan PAS.

"Sebagai rakyat Malaysia saya rasa rakyat perlu berfikir rasional dan saya akan berusaha memenangi kerusi DUN Tiram," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: