HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2008

PMN mahu bertemu Khairy 2 Mac ini
Ali Bukhari Amir


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Parti Mahasiswa Negara (PMN) berhasrat menemui calon Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada 2 Mac depan bagi tujuan membincangkan beberapa agenda yang berkaitan kepentingan generasi muda negara.

"Kita lihat Khairy agak lantang dalam beberapa isu yang berkaitan kepentingan generasi muda. Contohnya, tentang isu prestasi sukan bola sepak nasional, gejala rempit, gangsterisme dan isu Kelantan belakangan ini," kata Presiden PMN Azlan Zainal melalui satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

Azlan berkata, pada Ahad ini (2 Mac), seramai 50 orang sukarelawan PMN akan pergi berkampung di Parlimen tersebut untuk bertemu dan berbincang bersama beliau tentang agenda kepentingan generasi muda Malaysia.

"Pendirian PMN masih konsisten sebagaimana pendirian PMN di Parlimen Kepala Batas pada 24 Februari lalu ketika penamaan calon.

"PMN bukan mahu mencabar bekas Perdana Menteri atau Khairy atau mana-mana pihak. Kedatangan PMN cuma untuk berkongsi agenda kepentingan generasi muda di Malaysia. PMN berharap Khairy bersedia untuk bertemu kami pada hari tersebut," kata beliau.

Tambah Azlan, kalau pertemuan itu berlaku antara PMN, Khairy dan Umno Rembau; ada beberapa soalan yang ingin diutarakan di mana hal itu memerlukan jawapan jujur Khairy.

"Antara soalan-soalan tersebut ialah, jika terpilih ke Parlimen, mahukah beliau kukuhkan semula kedudukan bahasa Malayu dalam sistem pendidikan kebangsaan demi kepentingan generasi muda? Jika ya, bagaimana cara beliau melaksanakan semua itu?

"Keduanya, bersediakah Khairy menerima pelawaan PMN untuk berdebat berhubung isu kepentingan generasi muda seperti isu rempit, jenayah, gangsterisme yang kian berleluasa di Malaysia dalam tempoh terdekat ini?

"Ketiga, benarkah beliau terlibat dalam skandal pembelian saham ECM Libra-Avenue berjumlah 3 peratus atau RM9.2 juta? Bagi PMN, tokoh pemuda seharusnya bebas daripada spekulasi dan bersih," kata Azlan lagi.

Selain itu, katanya, PMN ingin bertanya pandangan beliau berhubung isu Wilayah Pembangunan Iskandar, Tanah Rizab Melayu (TRM) khasnya di Felda yang akan hangus lebih sekitar 17 peratus.

"Jadi, apakah langkah progresif demi menyelamatkan TRM bagi generasi muda di sana?
"Akhirnya, kita ingin bertanya Khairy apakah beliau sudi berwacana dengan PMN secara terbuka berhubung isu rasuah dan sistem nilai di Malaysia?" kata beliau.

Azlan berkata, pihaknya berharap agar kedatangan PMN ke sana untuk berkongsi agenda kepentingan generasi muda disambut baik oleh Khairy dan Umno-BN kelak

Tiada ulasan: