HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2008

Ahli JKKK dan Puteri Umno sertai PAS
Adnan Ibrahim


MARANG (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdullah Mamat, 65 bersama anak beliau Ahli Puteri Umno, Shamsiah Abdullah menyertai PAS kerana Umno gagal memberikan kebajikan kepada mereka.

Ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Asing, di sini, malam tadi, beliau menceritakan bagaimana pemimpin Umno mengasingkan beliau daripada mendapat hak sebagai ahli JKKK.

"Setiap Ahli JKKK ada empat kouta wang ehsan untuk diagihkan kepada rakyat di bawah urusan ahli JKKK masing-masing.

"Bagaimanapun saya dinafikan hak tersebut untuk diberikan kepada penduduk di kawasan saya," ujarnya.

Beliau juga melahirkan kekesalan terhadap pemimpin Umno kerana tidak megagihkan secara adil wang ehsan sebaliknya ingin mengaut sesama sendiri.

"Mereka mahukan pengaruh jadi peimpin ini membolot agihan wang ehsan yang sepatutnya disalurkan kepada Ahli JKKK," tambah beliau.

Beliau bersama anaknya membuat pengisytiharan itu ketika menyerahkan borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhajaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik.

Beliau dan anaknya cukup berkeyakinan menyertai PAS sehingga bersedia menjadikan rumah beliau sebagai tempat ceramah calon PAS, Mohd Deraman yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan.

Mengulas peluang PAS di kampung ini, beliau berkata tawaran PAS kepada pengundi sebenarnya cukup menarik terutama untuk memastikan rakyat miskin mendapat pembelaan, memiliki tanah dan rumah sendiri.

"Anak-anak muda di sini juga mahukan pekerjaan dan jika PAS diberi peluang memerintah ingin memastikan setiap rakyatnya mendapat peluang pekerjaan dengan langkah mengurangkan pekerja asing.

"Bilangan pekerja asing yang semakin ramai ke negeri ini turut mengundang masalah sosial dan jenayah. Jadi langkah PAS itu bersesuaian memastikan rakyat mendapat kerja di samping memastikan negeri kurang jenayah," katanya.

Menurut beliau dalam soal pekerjaan bukan sahaja golongan belia tidak mempunyai pekerjaan malah orang dewasa juga ada yang kerja tidak menentu.

Keadaan inilah kata beliau menyebabkan rakyat Terengganu masih dalam arus kemiskinan. - mns

Tiada ulasan: