Tekanan untuk Awang Adek, 122 ahli Umno Bachok sertai PAS
Wan Nordin Wan Yaacob
BACHOK (Hrkh) - Dalam keghairahan Umno/BN berkempen untuk menawan Kelantan dengan menamakan Dato' Dr Awang Adek Husin sebagai calon Menteri Besar, persediaan kem Umno/BN sekali lagi menerima tamparan hebat berikutan kemasukan 122 orang ahli Umno Bachok menyertai PAS.
Kesemua penyokong kuat Umno dik awasan Jelawat dalam Parlimen Bachok itumenyerahkan borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Gunong, Jelawat malam tadi.
Kesemua ahli Umno yang menyertai PAS itu adalah ahli dari Cawangan Umno Kampong Gunong dan Bukit Cendol.
Penyerahan turut disaksikan oleh bekas wakil rakyat BN Dun Jelawat, Mohammad Hasan atau lebih dikenali 'Abe Mat' yang turut berceramah dan menghentam kegilaan Awang Adek untuk menjadi Menteri Besar.
Penyertaan penyokong kuat Umno Jelawat ke dalam PAS dikepalai Jamaluddin Ahmad dan ia merupakan satu lagi tamparan hebat selepas Umno/BN kehilangan satu kerusi ketika penamaan calon 24 Februari lalu berikutan calon BN di Dun Kijang tidak layak bertanding kerana bankrap.
Lebih memalukan Umno adalah kerana 122 ahli Umno yang menyertai PAS malam tadi adalah merupakan ahli Umno di Parlimen Bachok yang mana ia adalah merupakan kawasan yang ditandingi Dr Awang Adek.
Lebih 1000 penyokong PAS dan Umno sekitar Jelawat hadir bagi menyaksikan malam bersejarah yang dinamankan bekas wakil Rakyat BN di Jelawat sebagai 'program penghijauan' itu.
Sementara itu mengulas mengenai kemasukan ke dalam PAS, Jamaluddin Ahmad berkata, beliau masuk PAS kerana sedar perjuangan Umno/BN hanyalah untuk kebendaan selain janji-janji yang ditaburi Awang Adek tidak pernah ditunaikan.
Sejak menang dalam pilihan raya umum 2004, Awang Adek tidak memberikan khidmat yang baik dan gagal menjadi wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat, katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian PAS di Jelawat.
Untuk rekod, Umno/BN Kelantan sebelum ini kelam kabut apabila dua calon mereka menarik diri dari bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa dan Parlimen Pasir Mas.
Ketika hari penamaan calon pula calon BN telah dibatalkan penyertaan mereka di Dun Kijang sementara calon BN di Dun Chempaka hampir-hampir tidak dapat bertanding kerana tidak menurunkan tandatangan selepas tamat tempoh penyerahan borang pencalonan.
Calon BN di Dun Chempaka itu bernasib baik kerana diselamatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga kerana mendapat simpati dari calon PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membenarkan calon BN tersebut menurunkan tandatangan biarpun sudah tamat tempoh penyerahan borang pencalonan. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan