HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2008

Dua calon BN Kelantan tarik diri petanda BN tidak diyakini – Husam
Wan Nordin Wan Yaacob


KOTA BHARU (Hrkh) - Dua calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Pengerusi BN Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa semalam menarik diri dari bertanding pada pilihan raya umum kali ini, kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa.

Dalam satu sidang medianya di Global Media dekat sini hari ini Husam berkata, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai, calon BN di Parlimen Pengkalan Chepa, Profesor Madya Dr Abdullah Sudin dan calon Pasir Mas, Dato' Abdul Halim Ahmad menarik diri.

"Ini adalah satu petanda yang menunjukkan keyakian rakyat terhadap BN di Kelantan sangat rendah," kata Husam yang akan bertanding di Dun Salor setelah berpindah dari Dun Kijang.

Beliau juga melihat pengurusan penyenaraian calon BN di Kelantan ini tidak kemas.
"Bila berlaku penarikan diri ini ia satu 'set back' menunjukkan calon tidak ada kepercayaan kepada BN atau yakin kepada BN,"ujarnya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan calon-calon PAS beliau menyatakan setakat ini calon yang diumumkan semalam adalah kalangan mereka yang diterima oleh ahli mahu pun penduduk setempat.

Ujarnya lagi, ahli PAS sendiri cukup berdisiplin dan tidak memprotes calon-calon yang disenaraikan oleh kepimpinan parti.

Beliau sendiri sebelum ini bertanding di Dun Kijang dan menang pada pilihan raya umum lalu, namun terpaksa akur dengan keputusan kepimpinan parti untuk berpindah ke Dun Salor.

Annuar Musa 'liabiliti' kepada Umno/BN

Beliau juga menaruh keyakinan rakyat akan memilih PAS memandangkan faktor kemelut yang berlaku dalam BN.

Mengulas mengenai pertukaran Annuar Musa ke Parlimen Ketereh beliau melihat bahawa rakyat masih memandang Annuar sebagai 'liabiliti' kepada Umno/BN.

Kemana sahaja Pengerusi BN Kelantan itu bertanding, beliau tetap dilihat sebagai 'liabiliti' dan bukannya aset kepada BN, ujar Husam.

"Liabiliti tetap liabiliti, ia tak akan jadi aset," ujarnya.

Sementara itu sumber Umno menyebut penarikan diri Halim Ahmad adalah kerana beliau tidak mahu bertembung dengan rakan baiknya, dato' Ibrahim Ali yang menjadi calon 'restu' PAS di Pasir Mas.

Halim dikatakan sangat terhutang budi kepada Ibrahim Ali ketika mahu mendapatkan jawatan tertentu.

Terkini Annuar Musa dalam satu program telah mengumumkan secara rasmi penarikan diri dua calon tersebut dari dicalonkan sebagai calon BN./wann

Tiada ulasan: