Ibu rayu rakyat doa Umai ditemui dengan selamat
KUANTAN – Ibu kepada Nur Umaisarah Sameaun, 21, merayu rakyat negara ini berdoa agar anaknya yang sesat ketika turun dari Gunung Tahan dapat ditemui kembali.
Ibunya, Nur Azah Ismail, 43, berkata, hanya ikhtiar tersebut yang beliau dapat fikirkan setelah anak sulungnya yang hilang masuk hari ke-14 semalam masih belum dijumpai.
“Dua hari sebelum Umai sesat, kakak ada bermimpi melihat wajahnya, hanya itu saja, kakak tidak tahu apa maksud mimpi tersebut,” kata beliau semasa dihubungi.
Dalam pada itu, Nur Azah berterima kasih di atas keprihatinan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang masih menempatkan kakitangannya di Taman Negara itu bagi membantu usaha mencari anaknya.
Nur Umaisarah, pelajar Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dilaporkan sesat semasa menuruni Gunung Tahan ketika mengikuti program unit beruniform.
Kehilangannya disedari rakan-rakannya hanya selepas tiba di Kem Bukit Botak pada pukul 11.30 pagi, 6 Februari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, pasukan mencari semalam merombak rancangan bagi menjadikan ia lebih berkesan.
“Ia dibuat untuk memudahkan gerakan mencari. Sebelum ini terlalu banyak rancangan tambahan dibuat dan ia mengelirukan pasukan mencari,” ujarnya.
Tambahnya, kawasan mencari diperluaskan lagi enam kilometer persegi menghala ke barat bermula di Bukit Botak.
Ujar Mohd. Shakaruddin lagi, gerakan mencari kini diperkuatkan lagi dengan bantuan Platun Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dari Kelantan.
Ketika ditanya mengenai keberkesanan khidmat Unit Anjing Pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat (K-9), beliau berkata:
“Rancangan untuk menggunakan khidmat unit itu dibatalkan kerana faktor cuaca, helikopter masih gagal mendaratkan unit itu di Bukit Botak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan