Abdullah jangan sombong kepada Anwar
Sekiranya Abdullah berhajat untuk mempertahankan dirinya maka beliau memerlukan seseorang pada ketika itu. Satu-satu orang yang boleh diajak untuk menjadi benteng kepadanya ialah Anwar Ibrahim. Anwar masih relevan untuk dijadikan rakan kongsi atau pun cagaran untuk Abdullah mempertahankan dirinya daripada serangan hendap oleh pihak Najib.
Oleh Mohd Sayuti Omar
Agak kasar dan angkuh sedikit kenyataan Abdullah Ahmad Badawi terhadap Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai Anwar Ibrahim selepas mesyuarat MT Umno petang tadi. Katanya beliau sudah lupa Anwar dan keputusan beliau membubarkan Parlimen tidak ada kena mengena dengan bekas TPM itu. "Saya sudah lupa Anwar dan keputusan ini tidak ada kena mengena dengan Anwar," begitulah katanya.
Apakah beliau kini benar-benar berada dalam zon selamat dengan merasakan keputusan pilihan raya 8 Mac nanti berpihak kepadanya? Mungkin ya... pilihan raya tetap akan berpihak kepada Barisan Nasional tetapi bukan semuanya kemenangan itu nanti menjadi milik Abdullah secara peribadi.
Abdullah tidak perlu merasa 'over confident'. Pilihan raya ini setakat memberi kemenangan kepada BN untuk membolehkan parti komponan itu terus menubuhkan kerajaan. Tetapi ada perkara lain yang perlu dihitung oleh Presiden Umno itu.
Bagaimana sekiranya prestasi pilihan raya umum ke-12 ini merudum jatuh. Katakan peratus pencapaiannya di bawah 70 peratus? Tentu sekali keputusan sebegitu tidak menyeronokkan malah membimbangkan Abdullah. Kemerosotan prestasi akan memberi risiko tersendiri kepada Abdullah.
Ramai pemerhati menjangkakan BN gagal mengekalkan prestasi lebih 90% yang diraih dalam pilihan raya ke-11 lalu. Orang akan melihat kewibawaan kepimpinan dan Kerajaannya selama ini lemah.
Baru sepenggal menjadi Perdana Menteri beliau sudah dinilai sedemikian rupa! Dalam politik semua boleh berlaku. Abdullah juga tidak perlu melihat orang di luar Umno itu sebagai musuh nombor satu. Sebaliknya beliau juga perlu melihat bahawa orang dalaman juga musuhnya. Pepatah Melayu ada mengatakan di dalam reban ayam juga kadang-kadang tempat musang berse lindung. Atau pun ada gunting di dalam lipatan. Apakah akan terjadi kalau keputusan itu menjadi realiti? Bukankah kelak ia akan digunakan oleh seterunya yang tersembunyi untuk melawannya.
Najib adalah sang singa bisu yang juga mempunyai nafsu dan selera makan seperti serigala segar. Bila-bila masa saja Najib akan menerkam dan meratah Abdullah bila sudah sampai masanya nanti. Masanya ialah apabila Najib merasakan Abdullah sudah lemah atau beransur tua.
Kemerosotan prestasi BN dalam pilihan raya kelak salah satu kecederaan buat Abdullah. Nah saat inilah Najib akan mengambil kesempatan untuk mengusik Abdullah. Peluang terbaik bagi Najib ialah mencabar Abdullah untuk jawatan Presiden dalam pemilihan Umno penghujung tahun ini.
Katakan kalau ini berlaku bagaimana dan kepada siapa Abdullah hendak berlindung.
Apakah beliau sudah merasakan kedudukan menantunya Khairy Jamaluddin sudah begitu kuat untuk dijadikan tempat bergantung dan mempertahankan dirinya? Abdullah harus sedar Khairy hanya baru setahun jangung. Tidak dinafikan menantunya itu pintar dan bijak namun pengalaman dan networkingnya di peringkat antarabangsa sebagai ahli politik masih belum luas dan melebar. Dan Abdullah kena arif bahawa hubungan antarabangsa Najib lebih luas dan bersifat glokal!
Sekiranya Abdullah berhajat untuk mempertahankan dirinya maka beliau memerlukan seseorang pada ketika itu. Satu-satu orang yang boleh diajak untuk menjadi benteng kepadanya ialah Anwar Ibrahim. Anwar masih relevan untuk dijadikan rakan kongsi atau pun cagaran untuk Abdullah mempertahankan dirinya daripada serangan hendap oleh pihak Najib.
Sedikit sebanyak pengaruh Anwar masih ada dalam Umno. Kalau pun mereka yang menyokong Anwar sudah dibuang dan dibersihkan oleh Najib, namun benih atau zuriat para penyokong Anwar masih tersisa dalam Umno. Mereka tetap akan bersimpati dengan Anwar.
Abdullah tidak akan berdaya untuk mengelak serangan Najib sekiranya tiba-tiba Najib lupa kepada sumpah dan janjinya yang akan setia dan tidak akan menikam Abdullah dari belakang. Najb sudah berada diperingkat paling berkuasa dalam Umno ketika ini. Beliau tidak akan menikam dari belakang tetapi bersedia untuk menikam dari hadapan.
Tegasnya langkah Abdullah bersikap keras dan sombong kepada Anwar itu adalah tidak baik. Beliau jangan bercakap pandang ke depan sahaja sebaliknya harus melihat ke belakang. Dalam politik semua boleh jadi. Bukankah politik itu ditafsirkan dengan berbagai maksud dan ianya serba mungkin. Abdullah kena ingat Anwar yang begitu akrab dan rapat dengan Dr Mahathir Mohamad pun akhirnya menjadi mangsa orang yang baik itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan