PAS dakwa duti setem ditarik balik untuk selamatkan BN
KUALA TERENGGANU: Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik di saat akhir arahan mewajibkan semua calon menyertakan borang pengesahan pencalonan dengan duti setam RM10 disifatkan sebagai usaha untuk menyelamatkan calon BN.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, SPR tahu ramai calon BN tidak akan dapat menunaikan syarat tersebut.Bagi beliau, SPR sudah menjadi 'robot' Umno.
Katanya, BN menghadapi krisis calon dan sehingga malam tadi barulah urusan mengisi borang-borang calon BN selesai.
Menurutnya, jika syarat ini diteruskan nescaya ramai calon BN akan ditolak.
"Untuk selamatkan calon Umno/BN, arahan telah dikeluarkan kepada SPR untuk gugurkan arahan tersebut," tegasnya.
Beberapa hari menjelang pilihan raya, SPR memasukkan satu syarat baru iaitu mewajibkan semua calon hendaklah mengesahkan borang pencalonan mereka melalui pesuruhjaya sumpah dan memasukkan setem RM10 cukai hasil.
Namun ia mendapat bantahan dari PAS dan lain-lain dengan menyifatkan ianya langkah yang tidak lojik. Namun, SPR bertegas. Tetapi semalam, melalui kenyataan lisan, arahan itu ditarik balik.
"Semasa perjumpaan dengan kita pada 21 Februari lalu, SPR kata wajib matikan setem pada borang tersebut, kita jadi kelam kabut kerana tinggal tiga hari lagi penamaan calon, malah SPR mensyaratkan cop yang 'original', tetapi hari ini, sama ada matikan setem atau tidak, kedua-dua boleh. Bila saya tanya SPR, mereka jawab 'Ini arahan lisan terbaru'," ujar calon PAS Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali ketika berucap sebaik sahaja keluar dari pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Aminuddin Baki.
Beliau membuat bantahan terhadap calon BN di situ kerana tidak matikan setem pada borang pencalonannya.
Dalam pilihan raya 2004 lalu, SPR memaklumkan bangsal panas untuk parti-parti politik berhampiran pusat mengundi tidak lagi dibenarkan. Maklumat itu dibuat SPR melalui taklimat mereka kepada parti-parti politik.
Namun, menjelang pilihan raya, arahan ini ditarik balik dan dibenarkan. Namun, parti pembangkang mengetahui perkara ini terlalu hampir dengan waktu pilihan raya.
Kesannya, pada hari mengundi mereka menjadi kelab kabut apabila melihat BN menyediakan bangsal panas yang mereka difahamkan ia tidak boleh sebelum ini.
Selepas menyemak dengan SPR baru mereka tahu ianya telah dibenarkan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan