HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2008

Misi Khairy rosakkan pembangkang: Pemuda PAS dakwa BN tidak demokratik
Oleh Salahuddin Ayub, KLPOS.COM


DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius pengakuan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tentang tugasnya untuk merosakkan pembangkang.

DPP Pusat berpandangan tugas dan kegiatan Khairy ini adalah amat tidak demokratik kerana bertujuan untuk merosakkan pembangkang, sedangkan sebagai parti pemerintah, BN sepatutnnya berlapang dada dengan pembangkang dan menganggap pembangkang sebagai penasihat yang positif kepada kerajaan.

Amat aneh sekali bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi melantik seorang pemimpin khusus untuk merosakkan pembangkang.

DPP Pusat tidak terkilan jika BN menyusun strategi untuk mengalahkan mana-mana parti pembangkang kerana adalah senario biasa dalam amalan demokrasi.

Tetapi jika untuk merosakkan pembangkang, ia adalah amat memalukan sekali. Keadaan yang ada ini membuktikan bahawa Khairy adalah orang belakang tabir yang bertanggungjawab terhadap keruntuhan sistem demokrasi di negara ini.

Tidak mustahil institusi-institusi awam seperti SPR dan polis yang telah hilang kebebasannya kerana peranan Khairy ini.

Benar juga dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa negara Malaysia dikuasai oleh Tingkat 4 JPM setelah Perdana Menteri tertidur.

Tugas dan fungsi Khairy untuk merosakkan pembangkang memang telah lama dikesan. Dia pernah menggelarkan Tun Dr Mahathir sebagai ‘beruk’ ketika bekas Perdana Menteri itu kuat membangkang Pak Lah.

Dan di Ijok, kenakalan Khairy lebih menonjol sehingga menjadi bahan ketawa rakyat.

Hari ini Khairy berusaha meluaskan pengaruhnya dalam Umno/BN dengan membunuh watak-watak yang membangkang kegiatannya.

Dia bukan sahaja merosakkan parti pembangkang, tetapi sesiapa sahaja yang membangkang gerakannya.

Hampir semua rakyat tahu bahawa Khairy yang tidak mempunyai apa-apa jawatan tetapi amat berkuasa terhadap dasar-dasar kerajaan.

Sebenarnya, Khairy tidaklah begitu berkesan dalam merosakkan parti pembangkang, tetapi amat berkesan dalam menjahanamkan sesiapa sahaja yang cuba membangkang gerakan sulit beliau dalam menguasai politik dan ekonomi negara.

Setelah menggelar Dr Mahathir sebagai ‘beruk’ kerana kritikan-kritikan Dr Mahathir yang menjejaskan kredibilitinya, Khairy sentiasa berusaha menurunkan pemimpin-pemimpin BN yang tidak sebulu dengan beliau.

Di Selangor, Khir Toyo nyaris tersingkir kerana dikatakan bukan dari kem Khairy. Di Terengganu, menteri besar terselamat kerana sanggup menjadi kuda tunggangan Khairy walaupun tidak disukai oleh pemimpin Umno Terengganu.

Dalam aspek ekonomi, hampir seluruhnya telah jatuh ke tangan Khairy, dan mana-mana pihak yang cuba membangkangnya telah dirosakkan peluang-peluang ekonomi mereka.

Inilah Khairy, makhluk perosak demokrasi negara.

Tiada ulasan: