HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2008

Altantuya munkin tidak berpakaian ketika diletupkan: Pakar



SHAH ALAM: Altantuya Shaariibuu yang ditemui mati dalam keadaan berkecai di kawasan belukar di sini pada November 2006 berkemungkinan tidak berpakaian ketika diletupkan kerana tiada cebisan pakaian dijumpai di tempat kejadian, kata perunding forensik, Dr Mohd Shah Mahmood pada perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Katanya berdasarkan penelitiannya di tempat kejadian di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana di sini, beliau mendapati tidak terdapat sebarang bentuk gentian di situ.

"Saya ke tempat kejadian pada 7 dan 9 Nov 2006 untuk membuat siasatan berkaitan mayat yang dijumpai di sana. Berdasarkan penelitian saya, kemungkinan si mati tidak berpakaian semasa mendapat kecederaan tersebut," kata Dr Mohd Shah, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Katanya semasa membuat siasatan di tempat kejadian, beliau menjumpai 322 serpihan tulang manusia di situ.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengapa beliau pergi ke tempat kejadian sebanyak dua kali, Dr Mohd Shah berkata ini kerana pada pemeriksaan awal pada 7 Nov, beliau mendapati serpihan tulang yang dijumpai tidak mencukupi untuk membentuk satu rangka manusia yang lengkap.

"Saya kemudiannya mencadangkan kepada pegawai penyiasat ASP Tonny Lunggan untuk menjalankan pencarian yang lebih teliti," kata Dr Mohd Shah pada hari ke 93 perbicaraan kes itu.

C/Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya, di satu kawasan di Bukit Raja di sini.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula dituduh bersubahat dengan mereka.

Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati jika disabit kesalahan.

Dr Mohd Shah, 48, berkata setelah menjalankan pemeriksaan semula pada hari kedua pada 9 Nov dan setelah selesai pemeriksaan lanjut terhadap serpihan tulang dan selepas dicantumkan, serpihan tulang itu masih lagi tidak dapat membentuk satu rangka manusia yang lengkap.

Saksi pendakwaan ke-70 itu berkata beliau membuat pemeriksaan lanjut dan pencantuman serpihan tulang itu bersama-sama dengan Dr Nurliza Abdullah, pakar forensik antropologi.

Kepada satu lagi soalan Tun Abdul Majid, beliau berkata kesemua serpihan tulang diserahkan kepadanya oleh Lunggan di bilik mayat Jabatan Forensik, HKL.

Dr Mohd Shah berkata pegawai penyiasat itu menyerahkan 34 bungkusan barang kes kepadanya untuk dianalisis dan kemudiannya untuk diserahkan kepada Jabatan Kimia.

"Daripada 34 bungkusan barang kes itu saya mengambil dua set sample. Set pertama untuk tujuan "swab sample" untuk mengesan kehadiran bahan letupan, jumlahnya 19 swab. Set kedua ada empat sample iaitu dua contoh serpihan tulang dan dua contoh rambut untuk tujuan DNA dan sample ini adalah untuk dihantar ke Jabatan Kimia," katanya.

Kepada soalan Tun Abdul Majid mengapa beliau hanya mengambil dua set sample sahaja, Dr Mohd Shah berkata ini kerana sebahagian daripada barang kes itu belum dibersihkan, belum dikeringkan dan belum dilabel untuk dikenal pasti sebagai bahagian tulang.

Beliau berkata dua set sample itu setelah dimeterai, diserahkan kepada Lunggan pada 3.45 petang 8 Nov 2006

Dr Mohd Shah berkata kesemua barang kes yang telah dibersihkan dan dimeterai disimpan dalam peti sejuk spesimen Jabatan Forensik yang berkunci.

Beliau berkata walaupun barang kes itu disimpan dalam peti sejuk bersama-sama dengan barang kes lain, beliau terlebih dahulu memeterai dan melabelkan barang kes itu.

Kepada soalan Tun Abdul Majid apa yang beliau buat terhadap barang kes yang tidak dihantar ke Jabatan Kimia, Dr Mohd Shah berkata kesemua barang kes itu disimpan dalam peti mayat yang berkunci dan tidak bercampur dengan barang kes lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok. BERNAMA

Tiada ulasan: