TERKINI
Laksana peraturan duti setem, BN sudah cium ajalnya?
Saidah Hairan
SHAH ALAM (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang didokongi BN semakin bertindak biadap dan melampau dengan memperkenalkan peraturan baru bagi menyekat calon-calon pembangkang bertanding dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac ini.
Ini berikutan satu peraturan baru yang diperkenalkan dalam borang perakuan calon untuk bertanding di Parlimen dan Dun.
Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin amat kesal dengan kebiadapan SPR yang cuba menimbulkan suasana berang terhadap calon-calon PAS apabila terpaksa mematuhi peraturan baru yang menjadi syarat wajib bagi setiap calon.
Katanya,borang perakuan calon mengenai peraturan perjalanan pilihan raya itu terdiri daripada borang 5 untuk calon Parlimen dan 5A untuk Dun.
Beliau yang sudah dua kali menjadi calon PAS menegaskan, tidak pernah berlaku dalam pilihan raya selama ini borang peraturan itu perlu dibatalkan dengan setem duti.
Katanya, tetapi kali ini SPR memberi dua hari notis untuk dikerahkan membayar setem duti walaupun tertera dalam borang tersebut bahawa setem duti dikecualikan.
"SPR jahat, pembohong kenapa BN sanggup menggunakan SPR untuk sekali lagi berbohong, apakah BN sudah mula mencium ajalnya sehingga sanggup menggunakan SPR untuk terus berbohong," tegasnya ketika ceramah di Shah Alam selepas pengumuman calon baru-baru ini.
Apa yang berlaku seterusnya tambah beliau, walaupun hanya dua hari diberi notis tetapi calon-calon PAS tetap menuruti segala arahan tersebut.
"Kita patuh pergi ke Lembaga Hasil dalam Negeri buat satu stem duti, tiba-tiba petang Jumaat borang itu tidak boleh diterima. Kita terpaksa beli borang semula dan beli setem duti serta berjumpa dengan Pesuruhjaya sumpah untuk mengisi borang yang sama," kesalnya.
Beliau mempersoalkan mengapa SPR sanggup berbuat demikian dan kenapa dari awal lagi tidak memberitahu kepada parti yang bertanding bahawa peraturan itu merupakan kehendak undang- undang.
Menurutnya, selama ini PAS mahu bertanding secara sihat dan gentleman serta sanggup menerima segala kekalahan jika rakyat menolak calon PAS.
Hanipa yang juga AJK PAS Pusat memberi ingatan kepada SPR jika rakyat bangun memberontak jangan salahkan mereka kerana semua itu disebabkan campurtangan Pengerusi SPR.
"Kalau main boleh biarlah secara sihat, ikut peraturan, kami selalu tendang bola tetapi setiap kali kami tendang BN alihkan tiang gol macam mana bola nak masuk," jelasnya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya memberi nokhtah terakhir kepada BN jika tidak mahu melihat atau mendengar SPR terus menipu setiap kali pilihan raya dijalankan.
Katanya, Pengerusi SPR memang layak menjadi Pengerusi Zoo Negara di mana ahlinya terdiri daripada orang yang bersekongkol dengannya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan