HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Februari 2008

Kerja untuk parti, bukan untuk individu- Khir



SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini mengingatkan jentera parti supaya terus bekerja untuk parti dan bukannya untuk individu.

"Jadi, mereka yang tutup bilik gerakan, buat rombongan bas, janganlah buat kerja sia-sia. Kalau kita kata bekerja untuk parti buktikan ... jangan cakap depan pemimpin kata kita berjuang untuk parti tapi... ada TETAPI saya nak itu dan ini," katanya selepas melakukan majlis pecah tanah SJK (C) Sin Min Sg Besar, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi kalangan para penyokong pemimpin tertentu yang namanya tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bertanding di 22 kerusi Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum 8 Mac ini.

Dr Khir berkata keputusan yang dibuat semalam adalah muktamad selepas beliau bermesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, dan adalah tidak wajar mesyuarat terpaksa dibuat untuk menukar calon.

"Ada antara wakil rakyat yang tidak terpilih bukan kerana masalah disiplin tetapi mereka telah lama berkhidmat dan parti memerlukan tenaga baru supaya perjuangan parti tidak terhenti menerusi penyediaan barisan pelapis.

"Kalau tidak ada barisan pelapis yang mantap, pertukaran pimpinan yang sudah lama menjangkau tiga hingga empat penggal kepada pimpinan baru, akan mewujudkan ruang kosong yang mengakibatkan parti tidak stabil dan memberi ruang kepada parti pembangkang untuk mengambil kesempatan," katanya.

Katanya lagi, ada antara mereka yang kecewa, datang berjumpa beliau dengan tangisan sambil memegang lututnya, menghantar berbas-bas penyokong bertemunya untuk menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai penyokong selain menghantar isteri masingmasing untuk memujuk.

Dr Khir juga berkata sejak menjadi pemimpin politik, beliau telah bersedia seandainya khidmat beliau tidak diperlukan lagi.

Mengenai bantahan Umno Bahagian Shah Alam semalam yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, Menteri Besar itu berkata bantahan mereka tidak akan mengubah apa-apa.

Umno Shah Alam sebelum ini menyuarakan kehendak mereka supaya tiada lagi caloncalon luar atau "calon payung terjun" bertanding di kawasan mereka kerana Shah Alam tidak kurang dengan caloncalon yang berwibawa.

"Saya dah jumpa Aziz dan Salamon (Datuk Salamon Selamat Ketua Bahagian Shah Alam) dan buat persetujuan untuk berjumpa Umno Bahagian pagi ini. Saya harap masalah hati dan perasaan ini dapat diselesaikan dan jangan ambil masa yang lama," katanya.

Mengenai nama Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Muhammad Taib yang tidak terpilih, beliau berkata Tan Sri Muhammad adalah di bawah seliaan Perdana Menteri dan mungkin Abdullah mempunyai rancangan tertentu untuk beliau.

Dr Khir juga berkata nama Muhammad memang terdapat salam senarai awal caloncalon yang berpotensi untuk bertanding mewakili BN.

Menyentuh mengenai sekolah itu, Dr Khir berkata beliau telah mendapatkan derma daripada dua tokoh korporat, berjumlah RM2.0 juta, bagi membina semula bangunan sekolah itu yang usang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sekolah itu Encik Wong Chew Seng berkata derma itu diperlukan bagi membina bangunan baru tiga tingkat bagi memberi keselesaan kepada 1,012 murid. BERNAMA

Tiada ulasan: