Najib 'arah' anggota tentera di Kelantan undi BN
Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tidak cukup dengan undi pos khusus untuk pegawai keselamatan negara, hari ini Dato' Seri Najib Tun Razak di atas kuasanya sebagai Menteri Pertahanan 'memaksa' kakitangan tentera untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.
Najib secara terbuka 'merayu' di hadapan kakitangan tentera supaya mengundi BN ketika dalam lawatannya di sebuah kem tentera di Kok Lanas, Kelantan petang tadi.
Mengulas perkara ini, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata, dalam kerajaan 'caretaker', SPR sepatutnya menghalang sebarang bentuk program dan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin atas kapasiti mereka sebagai menteri kabinet.
Katanya, Najib sebagai calon BN tidak sepatutnya menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk merayu mereka di bawahnya supaya mengundi BN.
"Tetapi nampaknya Najib menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pertahanan untuk 'mengarahkan' kakitangannya mengundi BN," katanya.
Katanya, perbuatan itu adalah satu bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh calon BN untuk memberi tekanan kepada tentera supaya menyokong mereka.
Beliau juga berkata, rayuan Najib itu turut menggambarkan bahawa warga tentera tidak lagi senang dengan pimpinan negara.
"Sebab itulah sekarang ini Najib memaksa dirinya untuk merayu kepada kakitangan tentera untuk mengundi BN," katanya.
Menurut Mahfuz, Najib menggunakan kuasanya semata-mata mahukan sokongan kepada BN dan keadaan ini menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan tentera pada hari ini.
Tegasnya, kakitangan tentera sepatutnya dibela dengan baik bukannya dipergunakan untuk kepentingan parti mereka.
Justeru, Mahfuz berharap supaya kakitangan tentera mengenepikan sebarang bentuk tekanan ke atas mereka dengan melihat kepentingan negara dan generasi yang akan datang.
"Mereka sebagai pahlawan negara dan bangsa perlu menyelamatkan negara yang sedang menuju kemusnahan kerana cara BN yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat," katanya. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan