HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2008

Abdullah, BN Kedah tipu pengundi: Senaraikan calon yang pecah amanah
Azamin Amin


POKOK SENA (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) khususnya di Kedah menerima tamparan hebat dan bakal kehilangan kepercayaan rakyat lantaran calonnya di Dun Bukit Pinang, Omar Saad telah dipecat daripada Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah termasuk jawatan yang disandangnya sebagai Setiausaha kerana didakwa pecah amanah.

Surat koperasi itu telah dikeluarkan kepada beliau termasuk tujuh lagi yang lain yang didapati bersalah kerana melakukan tindakan salah guna kuasa membabitkan urusan pembelian tanah seluas 105 relung dan pemecatan tersebut berkuatkuasa pada 25 Disember lalu.

Mesyuarat Agung Koperasi tersebut telah mendapati Omar bersalah setelah beberapa siasatan dibuat mengikut aturan seksyen 64 dan 66 akta koperasi berhubung isu berkenaan dan satu laporan polis juga telah dibuat oleh ahli koperasi di Balai Polis Daerah Kota Setar pada 5 Ogos lalu.

"Walaupun tidak mendatangkan implikasi dari sudut undang-undang termasuk pembatalan pencalonan beliau, pemecatan itu jelas membuktikan bahawa kewibawaannya untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat sangat diragui dan boleh mendatang kesan buruk kepada penduduk kawasan dan negeri Kedah sendiri,"kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Malah beliau sangsi bagaimana Pengerusi BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh meluluskan senarai calon seperti Omar yng sudah jelas melakukan kesalahan sedangkan kriteria memilih calon yang diuar-urakan selama ini adalah bersih.

"Abdullah kata dia sudah 'scan' calon-calon dan mendapat maklumat daripada pelbagai agensi seperti polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR), kastam dan sebagainya untuk memastikan mereka benar-benar bersih.

"Sebaliknya Abdullah tipu rakyat, senaraikan juga calon bermasalah kepada rakyat," katanya lagi.

Natijahnya kata Mahfuz, terbukti Abdullah sangup menipu rakyat khususnya penduduk di Dun dan Parlimen Pokok Sena dalam menampilkan calon berwibawa.

Bagaimanapun Mahfuz hairan seorang bekas calon Aman Khan telah digugurkan oleh BN daripada bertanding di Jitra kerana turut dipecat daripada koperasi yang sama.

Tempat beliau kemudian digantikan dengan Dato' Saad Man sebaliknya Omar Saad masih tersenarai menjadi calon, kata Mahfuz.

"Pak Lah sanggup hina kami, rakyat Kedah kerana memilih calon korup dan dalam masa sama paksa penduduk pilih calon yang korup untuk jadi wakil rakyat," katanya.

"Apakah jaminan jika beri mandat kepadanya, sedangkan waktu menjadi setiausaha pun dia telah pecah aman," katannya yang merupakan calon PAS bagi Parlimen Pokok Sena.

Beliau dalam pada itu menyeru seluruh penduduk negeri Kedah dan rakyat menolak semua calon BN di semua tempat khususnya di Dun tersebut pada pilihan raya umum akan datang dan memberi peluang untuk PAS yang akan menjalankan tangungjawab penuh amanah dan dedikasi selaras dengan tuntutan agama.

"Jika beliau sanggup menipu koperasi dan guru-guru, apa jaminan beliau tidak akan melakukan perkara sama kepada para petani dan penduduk miskin di kawasannya," katanya.

"Saya menggesa supaya Abdullah dan Menteri Besar Kedah menarik balik pencalonan Omar Saad kerana Aman Khan juga tidak disenaraikan sebab kes yang sama. Jika tidak Abdullah jelas telah menyenaraikan calon tidak bersih dan rakyat perlu menolaknya," kata Mahfuz yang pernah memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena pada tahun 1999. - mks.

Tiada ulasan: