HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Februari 2008

Subsidi: PM terus kelirukan rakyat
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Keluhan dan rungutan Perdana Menteri tentang besarnya tanggungan kerajaan untuk memberikan subsidi mengesahkan bahawa minyak mungkin akan dinaikkan harga selepas pilihan raya, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Apabila Perdana Menteri mengeluh dan merungut tentang perbelanjaan kerajaan untuk memberikan subsidi, ia mengesahkan dua perkara.

"Pertama, kerajaan memang tidak mahu malah tidak berniat langsung untuk mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak. Itulah pemimpin Barisan Nasional, niat untuk mengurangkan beban rakyat pun tidak ada.

"Kedua, kemungkinan yang besar minyak akan dinaikkan harga selepas pilihan raya.

Sukar bagi rakyat untuk menidakkan bahawa menaikkan harga minyak adalah idaman utama kerajaan," kata beliau.

Menurut Mahfuz, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu juga dengan sendiri membuktikan bahawa kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa "bukan semestinya harga minyak akan naik" hanya bertujuan untuk mengabui mata rakyat dan tidak boleh dipercayai.

Tetapi, katanya, yang lebih mengelirukan rakyat ialah kenyataan Perdana Menteri kononnya kerajaan terpaksa menanggung beban jika harga minyak diturunkan 30 sen seliter.

"Pertama, bukan pentadbiran Abdullah yang menanggung beban. Dan, kalaupun beliau tidak berbohong kononnya terpaksa menanggung beban, ia bukan disebabkan oleh pemberian subsidi," tegas beliau.

Menurut Mahfuz, rakyat dan negara ini terpaksa menaggung beban akibat amalan-amalan kerajaan yang tidak dilihat bersih oleh rakyat.

"Sebagai contoh, jambatan Yahya Petra. Dari harga RM80 juta, tiba-tiba tanpa sebab yang boleh dipercayai telah dinaikkan kepada RM151 juta. Rakyat dan negara terpaksa menanggung bebanan RM71 juta.

"Dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), dari jangkaan perbelanjaan RM2 bilion sahaja, naik lebih dari sekali ganda kepada RM4.6 bilion.

"Projek landasan berkembar yang pada awalnya dijangka menelan belanja RM8 bilion, naik kepada RM12 bilion. Itu baru tiga projek. Bagaimana projek-projek lain?" beliau mempersoalkan.

Kerajaan pula, kata Mahfuz, tidak pernah berjaya dan sentiasa gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa amalan rasuah dan penyelewengan tidak wujud dalam perlaksanaan projek-projeknya ketika rakyat dan negara terpaksa menanggung beban yang besar berikutan peningkatan harga projek-projek yang dilaksanakan.

"Jawapan-jawapan dan perbahasan-perbahasan di dalam Dewan Rakyat misalnya tidak pernah memperlihatkan kerajaan dapat menafikan amalan rasuah dan penyelewengan dalam projek-projek tersebut," katanya.

Jika bebanan-bebanan seperti itu tidak dipaksakan ke atas rakyat, kata Mahfuz, wang yang dijimatkan boleh menampung kos subsidi untuk meringankan beban mereka.

Tiada ulasan: