HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

Penempatan PATI digempur


KOTA DAMANSARA - Seramai 72 pendatang asing termasuk empat wanita dan seorang kanak-kanak berusia setahun antara yang diperiksa dalam serbuan melibat 25 anggota polis dari IPD Petaling Jaya dan Kota Damansara bersama 37 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya bermula jam 4.30 pagi, semalam.

Hasilnya, 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan berikutan membawa dokumen yang meragukan. Serbuan dilakukan di Seksyen 11/4, Kota Damansara, susulan tindakan PATI yang menceroboh kawasan hutan simpan botani yang disiarkan Sinar Harian baru-baru ini.

Pemeriksaan awal di kawasan terbabit mendapati terdapat lebih 50 warga asing yang mendiami 15 rumah kongsi yang dibuka secara haram di kawasan hutan di situ.

Dalam serbuan ke kawasan itu, seorang warga asing didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah ditahan manakala rumah kongsi yang dibina tidak mempunyai sebarang permit.

Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui warga asing yang bersembunyi di kawasan belukar dan semak berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga dan meloloskan diri jika serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Warga asing yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah akan ditahan di bawah 1(4) Seksyen 6(1) ( C ) Akta Imigresen.

Dalam operasi itu, Penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut merobohkan rumah-rumah kongsi yang dibina.

Menurut Ketua Balai Polis Kota Damansara, Sarjan Mejar Abdul Latiff Awang, serbuan dilakukan berikutan pihak polis mengesyaki terdapat beberapa suspek yang dikenal pasti menjadi dalang dalam kes samun dan pecah rumah di sekitar kawasan itu bersembunyi di rumah-rumah kongsi di situ.

“Kita tidak akan memberikan sebarang ruang kepada penjenayah untuk bersembunyi kerana objektif kita adalah mahu menjadikan kawasan Kota Damansara ini selamat dari kejadian-kejadian yang akan menggugat ketenteraman awam.

“ Saya minta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah agar berhubung dengan balai polis berdekatan," katanya.

Tiada ulasan: