HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2008

Rais cuba pujuk Abdullah untuk bertanding
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang mendakwa demonstrasi yang bakal dibenarkan PAS adalah budaya Barat yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara seolah kata-kata untuk memujuk Presiden Umno memberinya satu lagi peluang untuk bertanding.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menegaskan kenyatan Rais itu bertentangan dengan pandangannya sebelum ini yang mana sewaktu menulis tesis pengajian doktor falsafah turut mengkritik amalan tidak demokratik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, Rais amat sensitif jika apa yang dikatakan budaya Barat menyebelahi rakyat, tetapi tidak mengambil peduli apabila budaya Barat yang meruntuhkan rakyat berkembang.

Katanya, PAS sama sekali tidak bermaksud untuk membenarkan rusuhan atau tunjuk perasaan secara ganas tanpa kebenaran polis. Sebaliknya katanya, polis menyalahgunakan Akta Polis untuk menyekat hak rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, permit polis memang diperlukan untuk berhimpun, tetapi polis tidak boleh sesuka hati untuk tidak mengeluarkan permit apabila dipohon oleh rakyat.

Salahuddin dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menegaskan, menjadi satu trend baru pemimpin BN yang mengutamakan aktiviti yang meruntuhkan jati diri rakyat.

"Apakah aktiviti yang meruntuhkan jati diri rakyat ini hendak dijadikan budaya dan akan diwarisi oleh anak bangsa kelak?

"Dalam masa yang sama Rais menolak amalan-amalan positif di Barat seperti demonstrasi untuk menyampaikan pendapat secara aman. Takkan semudah itu seorang menteri yang berkelulusan undang-undang melihat demonstrasi sebagai satu budaya yang tidak boleh dibawa masuk ke negara ini kecuali menteri memang berniat jahat ke atas kebebasan rakyat,"tegasnya. - mks.

Tiada ulasan: