HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2008

PAS buat laporan polis isu Rafidah


IPOH: PAS hari ini membuat laporan polis meminta supaya dilakukan siasatan terhadap Pegawai Pilihan Raya (RO) di Parlimen Kuala Kangsar kerana menerima borang pencalonan calon Barisan Nasional (BN) yang tidak ditandatangani.

Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang berkata parti itu mahu polis menjalankan siasatan kerana terdapat kemungkinan berlaku "penyelewengan" kerana borang pencalonan Datuk Seri Rafidah Aziz secara tiba-tiba telah ditandatangani.

Beliau berkata borang penamaan calon BN itu jelas tidak ditandatangani apabila ruangan berkenaan kosong pada borang yang dipamerkan di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar pada Ahad lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto Barisan Alternatif Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad berkata PAS Perak juga akan memaklumkan kejadian itu kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

"Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja Perak, jadi semestinya baginda mengambil berat isu ini dan kami akan memaklumkan kepada baginda secepat yang mungkin," katanya.

Ahmad berkata Peraturan Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya 1981) sudah termaktub bahawa seorang calon perlu menandatangani ketiga-tiga borang penamaan calon dengan bersaksi.

Beliau berkata RO telah menolak bantahan wakil calon PAS dengan memberi alasan bahawa satu borang asal telah ditandatangani Rafidah sedangkan kesemua borang termasuk yang dipamerkan adalah asal dan bukan salinan.

Ahmad berkata calon PAS Dr Khairuddin Abdul Malik sendiri terdengar pengakuan Rafidah kepada RO bahawa dia terlupa menandatangani borang itu.

Semalam, Md Noor Kan, pencadang kepada calon PAS di Kuala Kangsar membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kangsar mengenai isu yang sama.

Bantahan telah dibuat oleh wakil PAS pada hari penamaan calon Ahad lepas tetapi RO Datuk Ghazali Jalal menolaknya selepas merujuk ibu pejabat SPR. BERNAMA

Tiada ulasan: