HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2008

Lepas serang Anwar, PKR, kini Khairy cabar PAS isu Negara Islam
Oleh Bernama


JITRA: Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin hari ini mencabar Pas supaya meletakkan konsep negara Islam dan kebajikan di dalam manifestonya serta tidak berbohong kepada rakyat keupayaannya membentuk kerajaan.

Beliau berkata konsep negara Islam yang dicanangkan parti itu kerap berubah dan lari daripada tujuan asal kerana terpaksa tunduk kepada tuntutan pakatan pembangkang.

Beliau menyifatkan gabungan parti pembangkang suka kahwin-cerai iaitu mereka 'berkahwin' menjelang pilihan raya dan bercerai selepas pilihan raya.

"Bagaimana mereka hendak menetapkan pendirian kerana antara parti pembangkang tidak ada persamaan dalam banyak hal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasukan "Sedia Gempur Pemuda BN Kubang Pasu" di sini hari ini.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, jika parti pembangkang menang sekalipun, gabungan ketiga-tiga parti itu tidak mungkin dapat menentukan siapa yang berhak dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Sewaktu berucap merasmikan gerak gempur itu, Khairy berkata idea seperti memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa, pendidikan percuma dan kos perubatan percuma dalam konsep kerajaan kebajikan Pas adalah mustahil dijalankan dan boleh menyebabkan kerajaan muflis.

Kerajaan yang muflis tidak dapat melaksanakan projek pembangunan dan negara ini akan dirundung masalah sehingga ramai akan jatuh miskin, tidak mempunyai pekerjaan dan peluang ekonomi terbantut, katanya.

Khairy berkata, Pas berani mengemukakan idea seumpama itu kerana tidak berpengalaman memerintah sebuah negara dan tidak boleh membezakan komplikasi idea kerajaan kebajikan dan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Tak payah cakap pasal kerajaan kebajikan, tahun lepas sahaja BN sudah bagi subsidi RM43 bilion. Jumlah tu boleh buat 500,000 rumah kos rendah atau 15 jambatan kedua Pulau Pinang tapi BN gunakannya bagi mengurangkan beban rakyat supaya kenaikan harga barang dapat dikawal," jelasnya.

Mengenai pemilihan anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz bertanding di Jerlun, Khairy berharap UMNO bahagian itu menerima baik anggota Exco Pemuda UMNO itu sebagai seorang pemimpin pusat dan berharap tiada masalah timbul bagi memastikan kemenangan BN.

Tiada ulasan: