Kerana stem hasil RM10, ramai calon Johor panik
PETALING JAYA: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pengecualian setem hasil bagi borang akuan berkanun (Borang 5 bagi calon Parlimen dan 5A bagi calon Dewan Undangan Negeri) dua hari sebelum penamaan calon menimbulkan sedikit panik di kalangan bakal-bakal calon Barisan Nasional Johor.
Ini kerana sehingga petang Jumaat, nama-nama calon BN negeri itu masih belum diumumkan, dan mereka bimbang akan menghadapi masalah untuk mematikan setem hasil seperti yang dikehendaki undang-undang itu.
Mereka bimbang kegagalan mematikan setem hasil itu akan menyebabkan borang pencalonan mereka tidak diterima Ahad ini dan mereka akan hilang kelayakan bertanding.
Seorang pemimpin Umno bahagian yang enggan dikenali mempersoalkan mengapa peraturan baru itu diumumkan SPR terlalu lewat.
"Setem kami bolehlah beli, tetapi tanpa surat watikah daripada parti, kami tidak boleh mengisi borang dan mematikan setem itu. Setem itu pula tidak boleh dimatikan jika borang tidak diisi sepenuhnya.
"Esok hari Sabtu, pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pejabat daerah di mana setem duti boleh dimatikan tutup. Apakah kesannya ke atas kami dan juga Barisan nanti," katanya.
Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk wan Ahmad Wan Omar berkata, calon-calon terlibat tidak perlu panik kerana selain pejabat LHDN dan pejabat-pejabat daerah, setem hasil juga boleh dimatikan oleh Pesuruhjaya Sumpah.
"Calon bolehlah mengisi Borang 5 atau 5A, yang mana berkenaan, kemudian membawanya kepada mana-mana Pesuruhjaya Sumpah untuk dimatikan setem hasilnya," kata beliau.
Wan Ahmad menjelaskan bahawa selama ini setem hasil memang dikecualikan, tetapi tahun ini SPR telah dinasihatkan oleh Pejabat Peguam Negara agar membatalkan pengcualian itu bagi mengelakkan ia dijadikan sebab oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan perintah mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya.
"Sebab itu kita umumkan lewat kerana kita pun baru dinasihatkan oleh Pejabat Peguam Negara. Pembayaran stem hasil RM10 termaktub dalam Akta Setem 1949 yang memerlukan apa-apa borang rasmi undang-undang perlu dikenakan setem hasil.
"Oleh kerana borang 5 dan 5A adalah borang akuan berkanun, ia termaktub sebagai borang undang-undang dan perlu dikenakan setem.
"Kita bukan hendak menyusahkan, hanya hendak memastikan pilihan raya nanti tidak terbatal kerana masalah teknikal undang-undang," jelasnya.
Pada Khamis, SPR mengumumkan semua calon yang akan mengemukakan kertas penamaan pada hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-12 pada Ahad ini, dikehendaki mengemukakan Akuan Berkanun iaitu Borang 5 dan 5A yang telah dibayar duti setemnya.
Dalam Borang 5 dan 5A, jelas dicetak bahawa stem duti adalah dikecualikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan